Salah pastikan Liverpool keluar pemenang dari Burnley. Foto Agensi
PENALTI lewat masa kecederaan Mohamed Salah memastikan Liverpool meneruskan rekod kemenangan bersih dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menundukkan Burnley 1-0 di Turf Moor.
Gol tunggal perlawanan hadir pada minit ke-90+5 selepas bola terkena tangan pemain gantian Burnley, Hannibal Mejbri dalam kotak penalti, sekali gus memberikan peluang kepada The Reds membawa pulang tiga mata.
Tampil ke laman Burnley membawa status juara bertahan, skuad kendalian Arne Slot gagal menampilkan aksi meyakinkan apabila bergelut menembusi benteng pertahanan kental tuan rumah sepanjang separuh masa pertama.
Kehadiran Alexander Isak, pembelian rekod Britain, juga tidak memberi impak apabila beliau tidak tersenarai dalam skuad perlawanan, menyebabkan jentera serangan Liverpool dilihat tumpul.
Separuh masa kedua, Liverpool mula menunjukkan peningkatan dengan percubaan berbahaya pertama hadir menerusi Dominik Szoboszlai, namun diselamatkan dengan cemerlang oleh penjaga gol tuan rumah, Martin Dubravka.
Ketika Burnley dilihat hampir meraih satu mata berharga, insiden malang pada saat akhir menyaksikan Mejbri tidak sengaja menyentuh bola dan Salah tidak mensia-siakan peluang dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti.
Kemenangan ini menyaksikan Liverpool mencatat kemenangan keempat berturut-turut musim ini kesemuanya hadir menerusi gol kemenangan dalam tempoh 10 minit terakhir perlawanan.
“Kami tahu betapa sukar untuk mencipta peluang apabila pasukan lawan bertahan dengan 11 pemain dalam kotak penalti mereka. Ini bukan kritikan kepada mereka, tetapi itulah realiti menentang pasukan Liga Perdana Inggeris yang juga dihuni pemain-pemain berkualiti,” kata Slot selepas perlawanan.
Ringkasan AI
- PENALTI lewat masa kecederaan Mohamed Salah memastikan Liverpool menewaskan Burnley 1-0
- Gol tunggal hadir selepas bola terkena tangan pemain gantian Burnley, Hannibal Mejbri
- Liverpool, sebagai juara bertahan, tampil ke laman Burnley namun gagal menembusi benteng pertahanan tuan rumah pada separuh masa pertama
- Alexander Isak, pembelian rekod Britain, tidak tersenarai dalam skuad perlawanan Liverpool
- Kemenangan ini merupakan kemenangan keempat berturut-turut Liverpool musim ini, kesemuanya dengan gol dalam 10 minit terakhir perlawanan