MOHAMED Salah dilaporkan semakin hampir menandatangani kontrak baharu di Liverpool yang akan menyaksikan dia kekal di kelab itu sehingga 2027.
The Sunday Mirror melaporkan satu kesepakatan telah dicapai oleh kedua-dua pihak dalam kontrak tersebut yang akan memberi kelegaan besar kepada berjuta-juta peminat The Reds di seluruh dunia.
Tuntutan kewangan diminta Salah tidak pernah menjadi isu dalam rundingan, sebaliknya tempoh lanjutan kontrak yang menjadi pertikaian kedua-dua pihak.
Liverpool pada mulanya hanya bersedia menawarkan kontrak tambahan satu tahun kepada Salah, manakala dia mahukan kontrak selama tiga tahun.
Pemilik Liverpool, Fenway Sports Group sebelum ini enggan memberikan lanjutan tempoh kontrak panjang kepada pemain berusia lebih 30 tahun menyebabkan pertikaian antara kelab itu dan ejen Salah, Ramy Abbas.
Namun, selepas rundingan panjang, persetujuan telah dicapai dengan pemain Mesir itu akan menandatangani kontrak selama dua tahun di Anfield.
Salah telah lama membuktikan dirinya sebagai legenda Liverpool, tetapi perjanjian baharunya bermakna dia akan mempunyai peluang untuk memecahkan lebih banyak rekod pada tahun-tahun akan datang.