'Salam, cium tangan menteri tidak rendahkan kepemimpinan ATM' – Adly Zahari

'Salam, cium tangan menteri tidak rendahkan kepemimpinan ATM' – Adly Zahari


latifah@bh.com.my

Kuala Lumpur: Penghormatan diberikan kepemimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terhadap mana-mana menteri umpamanya tunduk dan mencium tangan tidak sepatutnya diberi tanggapan negatif, seolah ia merendahkan anggota pertahanan negara.

Penegasan itu dibuat Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari sebelum mengakhiri sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Pertahanan (MINDEF) di Dewan Rakyat, hari ini.

Adly yang juga ahli Parlimen Alor Gajah membidas kenyataan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) ketika sesi Parlimen pagi tadi yang tidak bersetuju tindakan kepimpinan ATM mencium tangan menteri dan meminta ia dihentikan.

“Saya ingin ingatkan juga Yang Berhormat Ketereh bila bangkitkan soal salam itu, walaupun ia di luar daripada (konteks penggulungan) ini, saya fikir penghormatan itu tidak boleh dialihkan seolah-olah menggambarkan ia sebagai suatu kerendahan.

“Sebab biasanya kalau saya sendiri jumpa dengan Panglima, kita biasanya tak tabik, kita (sebagai) orang awam (akan) tunduk.

“Jadi kalau saya tengok gambar itu, tundukan itu, dilihat (Ketereh) sebagai suatu penghormatan yang amat rendah, saya fikir janganlah kita alihkan sejauh itu,” katanya.

Beliau pada masa sama turut menegaskan, isu terbabit sepatutnya tidak wajar dibangkitkan.

“Penghormatan kita kepada anggota pertahanan tak pernah berbelah bahagi dan tak ada sesiapa pun yang kita rendahkan kerana kita tahu dalam apa isu sekalipun anggota pertahanan telah mengorbankan bukan sahaja masa tapi nyawa mereka untuk negara kita.

“Jadi tak pernah timbul soal itu ataupun mahu kita rendahkan (anggota pertahanan),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top