PERTAHANAN Arsenal, William Saliba bersetuju menandatangani kontrak baharu selama lima tahun yang akan mengekalkannya di Emirates sehingga 2030.
Pemain antarabangsa Perancis berusia 24 tahun itu sebelum ini masih memiliki baki dua tahun dalam kontrak asalnya yang tamat pada Jun 2027.
Namun prestasi cemerlangnya telah mendorong pengurusan kelab untuk melanjutkan ikatan lebih awal.
Saliba menyertai Arsenal dari kelab Ligue 1, Saint-Etienne pada Julai 2019 sebelum dipinjamkan semula ke pasukan asalnya bagi musim 2019/20.
Beliau turut melalui tempoh pinjaman di Nice dan Marseille sebelum melakukan penampilan sulung bersama skuad utama The Gunners pada Ogos 2022.
Sejak itu, Saliba telah menjadi tonggak utama benteng pertahanan kendalian Mikel Arteta dengan mengumpul 137 penampilan.
Malah persembahan konsistennya bersama gergasi London itu turut menarik minat gergasi La Liga Sepanyol, Real Madrid.
Bagaimanapun, kesetiaannya kekal bersama Arsenal memberikan suntikan moral besar buat Arteta, khususnya selepas gandingan pertahanannya, Gabriel Magalhaes, turut menandatangani kontrak jangka panjang sehingga 2029 pada Jun lalu.
Langkah itu dilihat memperkukuh cita-cita Arsenal dalam misi memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris serta saingan Liga Juara-Juara Eropah musim ini.
Arsenal seterusnya dijadual berkunjung ke St James’ Park bagi menentang Newcastle United dalam aksi liga pada Ahad ini.
INFO
LIGA PERDANA INGGERIS
SABTU (27 SEPTEMBER)
Brentford lwn Manchester United
(Stdm Komunit Gtech, 7.30 malam
Sabtu, 27 Sept 10:00 pm
Leeds United lwn Bournemouth
(Stdm Elland Road, 10 malam)
Chelsea lwn Brighton
(Stdm Stamford Bridge, 10 malam)
Manchester City lwn Burnley,
(Stdm Etihad, 10 malam)
Crystal Palace lwn Liverpool
(Stdm Selhurst Park, 10 malam)
AHAD (28 SEPTEMBER)
Nottingham Forest lwn Sunderland,
(Stdm City Ground, 12.30 tengah malam)
Tottenham lwn Wolves
(Stdm Tottenham Hotspur, 3 pagi)
Aston Villa lwn Fulham
(Stdm Villa Park, 9 malam)
Newcastle United lwn Arsenal
(Stdm St James’ Park, 11.30 malam)
SELASA (30 SEPTEMBER)
Everton lwn West Ham United
(Stdm Hill Dickinson, 3 pagi)
Ringkasan AI
- William Saliba bersetuju menandatangani kontrak baharu selama lima tahun dengan Arsenal
- Pemain ini berusia 24 tahun dan kontrak barunya akan tamat pada 2030
- Saliba menyertai Arsenal dari Saint-Etienne pada Julai 2019
- Sejak debutnya bersama skuad utama Arsenal pada Ogos 2022, Saliba telah mengumpul 137 penampilan
- Prestasi cemerlang Saliba bersama Arsenal turut menarik minat dari Real Madrid