July 19, 2024

Saluran paip, pembentungan bakal guna pakai teknologi baharu

Saluran paip, pembentungan bakal guna pakai teknologi baharu


KUALA LUMPUR – Infrastruktur air dan pembentungan dalam sektor pembinaan negara bakal menerima teknologi baharu menerusi kerjasama antara sebuah organisasi tempatan dengan dua syarikat antarabangsa.

Presiden Persatuan Teknologi Saliran Trenchless Malaysia (MALTT), Datuk Hamidah Osman berkata, kerjasama tersebut penting untuk membawa teknologi sistem saluran dan pembentungan termaju tanpa perparitan terbuka di seluruh negara.

“Teknologi itu direka untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pemulihan saluran paip serta memastikan perkhidmatan air dan pembetungan yang mampan dan boleh dipercayai penduduk di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini MALLTT menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan 5Elem Hi-Tech Corporation Technology Co Ltd dari China dan NordiTube Technologies SE dari Belgium.

Kerjasama antara ketiga-tiga syarikat itu dimeterai ketika lawatan rasmi sulung Perdana Menteri China, Li Qiang ke Malaysia, baru-baru ini dan turut disaksikan Menteri Pelaburan, Perdagangan & Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz.

Antara perkara yang dimeterai dalam kerjasama itu ialah pemindahan teknologi milik 5Elem Hi-Tech Corporation Technology sebagai peneraju dalam teknologi saluran tanpa parit kepada MALTT.

Menurut Hamidah, dengan memanfaatkan teknologi baharu itu, infrastruktur air dan pembentungan mampu ditingkatkan dari segi daya ketahanan dan mengurangkan kos penggantian paip berbanding kaedah konvensional.

“Teknologi baharu ini diharapkan boleh memperbaharui jangka hayat sistem saluran paip, yang akhirnya memberi manfaat kepada sektor utiliti awam dan pengguna akhir,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan MITI menjadi pemudahcara dalam pertukaran 11 MoU antara syarikat Malaysia dan China, dengan potensi pelaburan berjumlah RM13.2 bilion. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top