Sam Bunkface jaga privasi anak di media sosial

Sam Bunkface jaga privasi anak di media sosial



syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi, Sam Bunkface memilih untuk menjaga privasi anak-anaknya sebagai langkah berjaga-jaga daripada terdedah dengan bahaya membabitkan keselamatan kanak-kanak.

Sam atau nama sebenarnya Shamsul Annuar Mohd Baharom, 37, berkata, dia sentiasa merujuk kepada ajaran Islam yang mengajar umatnya untuk mencegah sebelum berlaku sebarang masalah.

“Bagi saya, benda itu patut dibendung dan dalam Islam pun, kita diajar untuk mencegah.

“Ada benda yang perlu dan tak perlu dilakukan contohnya, muat naik hantaran di media sosial. Sebab itu, kita kena mencari ilmu dan terus belajar,” katanya kepada Harian Metro.

Tambah Sam, menjaga privasi keluarga terutama anak-anaknya lebih menjamin kebahagiaan.

“Itu menjamin kebahagiaan dalam kehidupan. Mudah sahaja. Saya tak boleh menghakimi orang lain punya cara.

“Saya memang bukan macam orang lain. Saya lebih banyak menjaga privasi kehidupan saya dan itu membuatkan saya rasa bahagia.

“Bila kita jaga privasi, tak ada orang peduli atau tanya atau membuka aib kita. Semakin meningkat usia, mestilah kita akan makin faham dan peka,” kata Sam ketika ditemui di sidang media Konsert Bunkface di Dewan Filharmonik Petronas hari ini.

Konsert itu akan berlangsung pada 28 September ini. Bunkface yang sebelum ini pernah berada di pentas sama pada 2014 akan mempersembahkan hampir 20 lagu popular mereka daripada lima album studio.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top