Sambil menyumbang sambil jaga alam

Sambil menyumbang sambil jaga alam



suliati@hmetro.com.my

Nestlé Malaysia memperluaskan program tahunannya iaitu program Kembali ke Sekolah di seluruh negara untuk terus membantu pelajar dari komuniti yang kurang berkemampuan.

Bukan itu saja, tahun ini juga Nestlé Malaysia turut tampil dengan pendekatan yang lebih inovasi lestari.

Selain menyumbang barangan keperluan asas sekolah, syarikat ini turut menyumbangkan perabot bilik darjah mesra alam dan peralatan sukan yang diperbuat daripada bahan kitar semula, di bawah inisiatif MILO Tenaga Untuk Kebaikan, khususnya untuk kawasan Pantai Timur yang sering menghadapi cabaran pada musim monsun.

Inisiatif ini juga adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Nestlé Malaysia untuk menyokong masyarakat setempat sambil menggalakkan kelestarian alam sekitar, sekali gus membentuk masa depan yang lebih cerah dan lestari bagi generasi akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols berkata, pendidikan setiap kanak-kanak amat penting dan pihaknya sedar cabaran unik dihadapi masyarakat di Pantai Timur akibat banjir yang menjejaskan rutin harian sekolah.

Justeru, katanya inisiatif ini menunjukkan bagaimana penyelesaian lestari boleh membawakan kesan bermakna dalam kalangan komuniti yang terdedah.

“Tahun ini, inisiatif Kembali ke Sekolah mengguna pakai pendekatan lebih luas dengan menyepadukan inisiatif MILO® Tenaga Untuk Kebaikan yang dilancarkan tahun lalu.

“MILO® Tenaga Untuk Kebaikan menukar pembungkusan UHT terpakai kepada bahan kitar semula yang dijadikan perabot sekolah dan peralatan sukan tahan lama yang direka untuk menahan kesan banjir sekali gus menjamin persekitaran pembelajaran stabil bagi pelajar,” katanya.

Menurutnya, bahan-bahan inovatif itu dihasilkan menerusi Projek CAREton, sebuah kerjasama antara Nestlé Malaysia dan Tetra Pak, yang berjaya mengitar semula 5,400 tan karton minuman terpakai sejak 2012 bersamaan lebih 420 juta pek UHT.

“Dengan menggabungkan program Kembali Ke Sekolah kami dengan inovasi lestari, kami komited untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar.

“Inisiatif ini memperlihatkan dedikasi kami menyokong masyarakat Malaysia dengan cara yang mewujudkan kesan positif berkekalan, serta menyumbang kepada kelestarian alam sekitar,” katanya.

Majlis penyerahan rasmi yang diadakan di SK Panggong, Pasir Puteh, Kelantan baru-baru ini menjadikan sekolah itu yang terawal di Pantai Timur menerima bekalan penting ini.

SK Tengku Ampuan Intan dan SK Kampung Buloh di Kuala Terengganu serta SK Rantau Panjang di Kelantan juga dijadualkan akan menerima bantuan yang serupa.

Manakala SK Durian Burung tercatat sebagai penerima awal barangan ini dalam projek perintis MILO® Tenaga Untuk Kebaikan, yang dilancarkan pada Oktober 2024.

Pegawai Pendidikan Daerah, Pasir Puteh, Tuan Hj Silmi Bin Tuan Ismail berkata, sumbangan daripada Nestlé Malaysia mencerminkan komitmen bersama untuk memupuk persekitaran pembelajaran yang membina, memastikan anak-anak mempunyai alat yang diperlukan untuk berkembang maju.

“Ketahanan perabot mesra alam lestari yang tahan lasak dibekalkan akan membantu sekolah-sekolah untuk menguruskan sumber dengan berkesan dan menunjukkan kepada murid bagaimana inovasi boleh menyelesaikan cabaran yang melanda masyarakat seperti banjir,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar, Nai’m Ibrahim berkata, pihaknya berterima kasih atas sumbangan ikhlas Nestlé Malaysia.

“Bekalan dan perabot lestari ini akan menambah baik persekitaran pembelajaran murid dan memberi inspirasi kepada mereka untuk menghargai betapa pentingnya kelestarian.

“Bersama-sama, kita membina masa depan lebih cerah bagi anak-anak kita,” katanya.

Program Nestlé Cares Kembali ke Sekolah tahun ini dijangka akan membantu kira-kira 4,000 pelajar di seluruh negara, termasuk mereka dari keluarga berpendapatan rendah, rumah tangga ibu bapa tunggal dan komuniti yang sering terjejas banjir.

Barangan keperluan yang disumbangkan termasuk pakaian seragam, sarung kaki, kasut dan alat tulis untuk memastikan kanak-kanak boleh memulakan tahun persekolahan baharu dengan ceria.

Selain itu, menerusi program ini juga Nestlé Malaysia turut menyumbang produk makanan dan minuman untuk membekalkan khasiat pemakanan kepada keluarga mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top