Sambut Maulid Nabi dengan jiwa merdeka

Sambut Maulid Nabi dengan jiwa merdeka


TATKALA kita menyambut ulang tahun kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, wajar kita menoleh ke dalam hati sendiri.

Hati manusia adalah rahsia paling dalam yang hanya ALLAH SWT MAHA MENGETAHUI mengenainya.

Ia boleh menjadi taman subur dengan kasih sayang atau padang tandus yang dipenuhi duri kebencian. Antara racun hati yang paling halus ialah iri hati, dengki dan dendam.

ALLAH SWT berfirman: “Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang ALLAH kurniakan kepada sebahagian kamu lebih banyak daripada sebahagian yang lain.” (Surah an-Nisa’: 32)

Iri hati itu bukan sekadar rasa kurang senang, tetapi hasrat busuk mahu melihat orang lain kehilangan nikmat.

Dari iri hati lahir dengki, dari dengki bercambah dendam, lalu membakar segala sifat mulia. Inilah api halus yang kini membuak dalam masyarakat, lahir dalam bentuk buli, fitnah, khianat dan pertelagahan sesama insan.

Rasulullah SAW: Akhlak menyembuhkan luka

Rasulullah SAW ialah samudera kemaafan. Baginda datang ke Taif dengan hati penuh harapan, namun disambut ejekan dan lontaran batu hingga tubuhnya berdarah.

Dalam hadis riwayat al-Bukhari, ketika Baginda SAW berlindung di kebun, tangan Baginda terangkat bukan untuk memohon azab, tetapi doa kerahmatan: “Ya ALLAH, berilah mereka petunjuk, kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui.”

Pada saat dunia melihat kezaliman, Baginda SAW melihat kejahilan. Pada saat manusia melihat musuh, Baginda melihat hamba ALLAH yang masih terkurung dalam gelap.

HIDUP lebih tenang dan bahagia apabila penyakit hati dijauhi. Foto Canva

Inilah akhlak agung yang menjadi cahaya bagi generasi selepasnya. Firman ALLAH SWT: “Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, sehingga orang yang merasakan permusuhan antara kamu dan dia adalah seperti teman setia.” (Surah Fussilat: 34)

Maulid Nabi bukan sekadar perayaan, tetapi satu peringatan untuk menyalin dan menyatuni akhlak Baginda SAW dalam kehidupan kita seharian.

Bahaya racun hati

Imam al-Ghazali menegaskan bahawa dengki adalah penyakit yang tidak pernah memberi untung, bahkan lebih buruk daripada zina kerana ia menolak ketentuan ALLAH.

Ibn Qayyim al-Jauziyyah menamakan dendam sebagai ‘penjara jiwa’ yang manusia tidak mampu melangkah ke hadapan kerana setiap langkah dibebani hasrat membalas.

Firman ALLAH SWT: “Balasan kejahatan ialah kejahatan yang setimpal dengannya. Tetapi barang siapa memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya atas tanggungan ALLAH.” (Surah asy-Syura: 40)

Syed Qutb pula menulis: “Hati yang dibasahi iman tidak akan iri kepada nikmat orang lain kerana dia yakin bahawa setiap pemberian adalah dari ALLAH dan DIA MAHA ADIL dalam pembahagian-NYA.”

Maulid nabi dan kemerdekaan jiwa

Menyambut kelahiran Rasulullah SAW tanpa meneladani akhlaknya, ibarat menyambut cahaya tetapi memilih kekal dalam gelap.

Kita melaungkan selawat, tetapi hati masih dipenuhi iri, lidah masih menabur fitnah, tangan masih menghunus kata yang melukai.

Lebih menyedihkan, racun hati ini menjelma dalam bentuk buli di sekolah, politik kebencian, perpecahan masyarakat serta hilangnya rahmat dalam rumah tangga.

Kita merdeka daripada penjajah, tetapi masih terjajah oleh nafsu dan dendam sedangkan Rasulullah SAW datang membawa risalah memerdekakan hati daripada segala belenggu.

Tiga langkah memadam api dendam:

1 – Mendoakan kebaikan bagi yang menyakiti sebagaimana Rasulullah SAW berdoa untuk penduduk Taif.

2 – Mengingati kematian kerana dendam tidak berguna di hadapan ALLAH.

SEMPENA maulid Nabi SAW, marilah kita memerdekakan hati daripada api iri, dengki dan dendam. Foto Canva

SEMPENA maulid Nabi SAW, marilah kita memerdekakan hati daripada api iri, dengki dan dendam. Foto Canva

3 – Menghidupkan akhlak Rasulullah SAW yang menjadikan kemaafan reaksi pertama, bukan pilihan terakhir.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Tidaklah seseorang memaafkan, melainkan ALLAH akan menambah kemuliaannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Doa maulid untuk jiwa merdeka

Sempena maulid Nabi SAW, marilah kita memerdekakan hati daripada api iri, dengki dan dendam.

Jadikan kasih sebagai asas, maaf sebagai senjata dan akhlak Rasulullah SAW sebagai obor kehidupan.

Doa Baginda SAW harus menjadi wirid kita: “Ya ALLAH, bersihkanlah hatiku daripada sifat munafik, amalku daripada riak, lisanku daripada dusta dan mataku daripada khianat. Sesungguhnya ENGKAU MAHA MENGETAHUI akan pengkhianatan mata dan apa yang tersembunyi di dalam hati.”

Ingatlah kemenangan hakiki bukan ketika kita membalas, tetapi ketika kita mampu memaafkan. Itulah roh Maulid, itulah rahsia kemerdekaan jiwa yang sebenarnya.

***PROF MADYA DR ZAIZUL AB RAHMAN merupakan Pensyarah Kanan Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia



Source link

OR

Scroll to Top