Sambutan Hangat Konsert Inul Daratista Live In Malaysia Cetuskan Idea, Pencarian Bakat Baharu Dangdut Kini Bermula!

Sambutan Hangat Konsert Inul Daratista Live In Malaysia Cetuskan Idea, Pencarian Bakat Baharu Dangdut Kini Bermula!


Sambutan hangat terhadap Konsert Inul Daratista Live in Malaysia yang bakal berlangsung pada 6 Disember ini telah mencetuskan idea baharu kepada penganjur untuk memperluas acara tersebut dengan inisiatif mencari pelapis baharu dalam dunia dangdut tempatan.

Pengarah Urusan Fajar Baiduri Empire, Khairul Isma berkata, idea itu tercetus selepas menerima pelbagai maklum balas daripada peminat yang bukan sahaja teruja menantikan konsert tersebut, malah mencadangkan agar mereka turut membuka ruang kepada bakat baharu.

“Kami menerima respons yang sangat positif daripada peminat yang menunggu konsert ini. Ramai juga bertanya kenapa tidak adakan pencarian penyanyi dangdut baharu sekali. Dari situ timbul idea untuk menganjurkan pertandingan ini bagi mencari pelapis baharu yang mampu meneruskan legasi irama dangdut,” katanya.

Pertandingan Millennial Dangdut Karaoke Idol 2025 bakal diadakan di Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang dengan hadiah menarik menanti para pemenang. Juara pertandingan akan membawa pulang RM1,500 serta peluang menjadi artis rakaman, manakala tempat kedua menerima RM1,000 dan lima finalis lain masing-masing memperoleh RM700.

Menurut Khairul, pertandingan ini bertujuan membuka peluang kepada generasi muda yang berani mencuba dan memartabatkan semula muzik dangdut di Malaysia.

“Walaupun penyanyi dangdut baharu agak berkurangan, peminat genre ini masih ramai. Jadi kami mahu beri platform kepada mereka yang berbakat untuk tampil dan tunjukkan kemampuan. Jangan sia-siakan peluang ini,” ujarnya.

Selain Inul Daratista yang bakal membuat kemunculan eksklusif di Setia Spice Arena, Pulau Pinang, konsert tersebut turut menampilkan penyanyi dangdut popular tanah air seperti Amelina dan Baby Shima.

Khairul turut menyatakan rasa terharu dengan sambutan luar biasa terhadap konsert itu yang menunjukkan muzik dangdut masih mendapat tempat di hati peminat tempatan.

“Ramai yang rindu nak lihat persembahan Inul selepas hampir dua dekad tidak muncul di Malaysia. Inilah masa untuk kita sama-sama mengubat rindu itu sambil menghidupkan kembali semangat dangdut,” katanya.

Bagi mereka yang berminat menyertai Millennial Dangdut Karaoke Idol 2025, pendaftaran dibuka hingga 8 November. Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui media sosial rasmi Suara Space.



Source link

OR

Scroll to Top