am@hmetro.com.my
Pasir Gudang: Polis berjaya menyelesaikan kes samun berkumpulan di daerah ini dengan penangkapan lima suspek termasuk empat warga asing, semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata penahanan kesemua suspek berumur 29 hingga 62 tahun itu susulan kejadian samun berkumpulan yang dilaporkan berlaku di kawasan Pasir Gudang, lebih kurang jam 1 petang kelmarin.
Katanya dalam kejadian itu seorang mangsa iaitu lelaki warga negara asing yang ketika itu berada di rumah telah diserang oleh kesemua suspek.
“Mangsa dipukul sehingga mengalami kecederaan pada bahagian badan dan barangan peribadi miliknya dirampas sebelum para suspek beredar.
“Lebih kurang jam 3.45 petang semalam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan dan empat lelaki warga asing.
“Polis turut merampas enam telefon bimbit pelbagai jenama, sekeping kad bank, sekeping dokumen peribadi milik mangsa dan empat keping kad urusan penghantaran wang ke luar negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd Sohaimi, hasil ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek adalah negatif dadah.
Bagaimanapun katanya, suspek warga tempatan mempunyai satu rekod jenayah dadah.
“Kesemua suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 28 Januari depan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan cedera semasa melakukan rompakan.
© New Straits Times Press (M) Bhd