San Mames ditawan Gunners

San Mames ditawan Gunners


PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta, menyifatkan pemain gantian berpotensi menjadi tonggak kejayaan The Gunners musim ini, selepas Gabriel Martinelli dan Leandro Trossard masing-masing meledak gol ketika mengatasi Athletic Bilbao, 2-0 dalam aksi Liga Juara-Juara pada Rabu.

Perlawanan pembukaan peringkat kumpulan di San Mamés itu menyaksikan Martinelli dan Trossard yang dimasukkan sebagai pemain gantian membalas kepercayaan Arteta dengan persembahan cemerlang walaupun sebelum ini bergelut dengan kekangan minit permainan.

Martinelli, yang berdepan kemerosotan prestasi sejak akhir musim lalu serta kehilangan tempat dalam kesebelasan utama kepada Eberechi Eze, memanfaatkan peluang sebaik mungkin bermain di laman kelab La Liga berkenaan.

Trossard pula, selepas musim lalu tampil sebanyak 56 kali, hanya membuat tiga penampilan sebagai pemain gantian musim ini.

Namun, Arteta menegaskan kedua-dua pemain itu tetap memainkan peranan besar dalam percaturan taktikal wakil Liga Perdana Inggeris berkenaan ketika menyingkap cabaran kejuaraan tertinggi kelab Eropah tersebut.

“Mereka sekurang-kurangnya sama penting, malah kadangkala lebih penting berbanding pemain kesebelasan utama. Kami sudah membincangkan perkara itu.

“Dalam ragbi, pemain gantian digelar ‘finishers’. Saya suka pendekatan itu. Kadang-kadang mereka yang masuk di separuh masa kedua mampu ubah rentak dan beri impak besar terutamanya apabila lawan mula kehilangan intensiti,” kata Arteta.

Arsenal sebelum itu turun tanpa tonggak utama Martin Odegaard, Bukayo Saka dan Kai Havertz yang sedang menjalani pemulihan kecederaan, manakala William Saliba hanya cukup cergas untuk mengisi bangku simpanan.

Situasi itu memaksa Arteta mempertaruhkan lima muka baharu dalam kesebelasan utama menentang kelab dari Basque berkenaan.

Biarpun terpaksa meninggalkan pemain berpengalaman di bangku simpanan, Arteta nyata gembira dengan reaksi positif daripada mereka yang diturunkan pada separuh masa kedua.

“Secara emosi, memang sukar untuk tinggalkan pemain berbakat daripada senarai kesebelasan. Saya tahu betapa mereka mahu bermain, lebih-lebih lagi dalam kejohanan seperti Liga Juara-Juara.

“Saya lihat wajah Martinelli di bangku simpanan sebelum perlawanan matanya bersinar, penuh keyakinan. Begitu juga Leo. Apabila mereka masuk, mereka bermain dengan semangat dan kefahaman yang hebat sesama sendiri. Itulah kunci penting untuk musim ini,” kata Arteta.

LIGA JUARA-JUARA 2025/26

Keputusan

Athletic Bilbao 0-2 Arsenal

PSV Eindhoven 1-3 Union Saint Gilloise

Juventus 4-4 Borussia Dortmund

Benfica 2-3 Qarabag BK

Tottenham Hotspur 1-0 Villarreal

Real Madrid 2-1 Marseille

 

 

Ringkasan AI

  • PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta, menyifatkan pemain gantian berpotensi menjadi tonggak kejayaan The Gunners musim ini
  • Gabriel Martinelli dan Leandro Trossard, sebagai pemain gantian, membalas kepercayaan dengan cemerlang dalam kemenangan 2-0 ke atas Athletic Bilbao
  • Martinelli memanfaatkan peluang bermain cemerlang setelah prestasi menurun dan kehilangan tempat dalam kesebelasan utama
  • Trossard, walaupun kurang mendapat peluang bermain musim ini, menunjukkan peranan besar dalam strategi taktikal Arsenal
  • Arteta menganggap pemain gantian sangat penting dan kadangkala lebih penting berbanding pemain kesebelasan utama dalam mengubah rentak permainan



Source link

OR

Scroll to Top