hafizithnin@mediaprima.com.my
KEDIAMAN dalam segmen kondomium berkeluasan 1,280 kaki persegi ini, rekaan dalamannya tidak ubah seperti berada dalam sebuah hotel.
Bukan elemen mewah yang diinginkan, tetapi rasa selesa yang menjadi keutamaan penghuninya.
Bagi pasangan suami isteri masing-masing berusia 41 tahun, Siti Hajar Mat Radzi dan Norsyah Md Shah, hiasan dalaman penting bagi merehatkan minda selepas pulang dari kerja.
Ketika penulis menemu bual Siti Hajar, jelas terpancar kepuasan di wajahnya sebaik bercerita idea dekorasi rumah yang baharu sahaja disiapkan itu.
Sebenarnya, dia dan suami baharu sahaja mendapat kunci rumah itu pada April lalu dan itu adalah rumah kedua mereka.
Siti Hajar berkata, dia dan suami sejak awal mengidamkan tema moden ‘sanctuary’ yang merujuk kepada konsep menjadikan ruang rumah atau ruang peribadi sebagai tempat perlindungan yang tenang, damai dan menenangkan jiwa dengan sentuhan gaya moden.
Katanya, konsep itu sebenarnya sejajar dengan tema keseluruhan kondominium itu yang mempunyai reka bentuk moden dan dikelilingi panorama semula jadi mendamaikan.
“Rumah baharu saya ini terletak di Setapak, Kuala Lumpur. Pemandangan tasik boleh dilihat dari rumah saya. Jadi, apabila kami melihat elemen ini, saya dan suami terfikir untuk mempunyai reka hiasan dalaman yang mampu menyatukannya dengan panorama di sekeliling.
“Jadi, kami melantik pereka hiasan dalaman berpengalaman untuk menghasilkan dekorasi ini dan ia memberikan hasil yang amat puas,” katanya.
Katanya, rumahnya banyak bermain dengan rona semula jadi antaranya putih, krim dan kayu. Elemen rona yang dipilih mempunyai kesinambungan yang amat baik apabila berada bersama.
“Selain itu, perabot dalam rumah kami juga bermain dengan rona alam supaya warna di sekelilingnya lebih tampak menyatu dengan warna perabot yang dipilih.
“Meskipun saya melantik pereka hiasan dalaman untuk menghias rumah ini, namun cita rasa saya dan suami perlu diabadikan dalam rumah ini. Jadi, kami sentiasa memberikan pandangan kepada pereka hiasan dalaman dari segi pemilihan warna dan perabot. Pereka hiasan pula akan memastikan rona dan pilihan perabot tampak serasi,” katanya.
Katanya, dia dan suami memilih pereka hiasan dalaman kerana ia lebih berbaloi dari segi masa dan kos. Perkara ini kerana pihak pereka hiasan dalaman lebih berpengalaman dalam hal itu.
“Saya merasakan dengan wang yang dibelanjakan cukup berbaloi kerana ia bukan sekadar membabitkan rundingan, tetapi membabitkan keseluruhan elemen dalam rumah ini termasuk memasang kabinet, perabot dan mengecat di semua ruang.
“Saya menggunakan khidmat hiasan dalaman untuk ke semua ruang kecuali tandas sahaja kerana bagi saya lebih berbaloi untuk disiapkan, sekali gus supaya kesinambungan konsep di setiap ruang itu wujud,” katanya.
Katanya, pereka hiasan dalaman juga menggunakan elemen hiasan dinding yang menonjol iaitu bukan sekadar cat. Malah, ia mempunyai hiasan dinding dalam bentuk jubin dan kabinet televisyen kayu menjadi hiasan di ruang utama rumahnya.
“Selain itu, pereka hiasan juga memilih perabot yang mempunyai dwifungsi iaitu sebagai aksesori dan boleh menyimpan barangan di dalamnya.
“Antaranya di ruang tamu saya bukan sahaja mempunyai kabinet televisyen yang menjadi titik fokal di ruang itu, malah ruang makan yang bersambung dengan kawasan itu juga mempunyai kabinet yang turut menjadi salah satu hiasan menarik di mata kami,” katanya.
Jelasnya, apabila mempunyai rumah yang sudah hias cantik serasi dengan cita rasa dia sekeluarga, perasaan untuk menginap di luar rumah tidak lagi ada.
“Sekarang ini, jika menginap di hotel, kami merasakan rumah kami lebih selesa dan menarik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd