Pemain Seoul Phoenix menghalang kemaraan KRW daripada melepasi pertahanan mereka.Foto kecil: Sang-Jin
KOTA BHARU – Pengendali Seoul Phoenix FC, Lee Sang-jin memuji kekuatan Kelantan Red Warrior FC (KRW) selepas perlawanan berkesudahan seri tanpa jaringan dalam aksi Liga A1 Semi-Pro di Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Sabtu.
Beliau juga menyifatkan satu mata dibawa pulang amat berharga memandangkan tekanan daripada pasukan tuan rumah yang mendominasi permainan.
“Pasukan sasarkan tiga mata, tetapi seri 0-0 ini tetap positif kerana Kelantan sebuah pasukan yang kuat.
“Tidak ada rasa rugi sebab kami tahu kekuatan mereka,” kata Sang-jin selepas perlawanan.
Pengendali itu turut mengakui perlawanan menentang KRW cukup sukar, selain faktor hujan pada separuh masa kedua yang menyukarkan anak buahnya mengekalkan rentak permainan.
“Pasukan kami kurang pengalaman beraksi dalam keadaan hujan dan padang licin.
“Pemain juga berdepan kesukaran menyesuaikan diri dengan cuaca, lebih selesa bermain pada waktu malam,” ujarnya.
Bagaimanapun, Sang-jin menegaskan pasukannya kini semakin menunjukkan peningkatan dan bersedia menghadapi perlawanan seterusnya.
“Dengan pasukan kuat KRW, dapat seri ini sudah memuaskan.
“Saya yakin kami boleh menang menentang Manjung City selepas ini,” tambahnya.