Pemain KDA FC meraikan kejayaan mereka bersama penyokong mengatasi Machan FC 1-0 di Stadium Mini Jitra pada minggu lalu. FOTO KDA FC
KEMENANGAN tipis 1-0 ke atas Machan FC di Jitra minggu lalu menjadi pembakar semangat buat Kedah Darul Aman (KDA) FC menjelang aksi kedua Liga A1 Semi Pro 2025/2026 menentang Bunga Raya FC di Arena IRC, Sendayan, Negeri Sembilan pada Ahad.
Ketua pasukan KDA FC, Zamri Pin Ramli berkata, walaupun rata-rata pemain masih baharu dalam saingan liga tersebut, namun mereka menunjukkan komitmen yang tinggi dan semangat luar biasa sepanjang sesi latihan.
“Pemain kita agak gugup masa perlawanan pertama, tapi saya dah cakap dengan mereka supaya jadikan itu sebagai pengalaman. Sekarang kita kena bawa momentum kemenangan ke Paroi,” katanya sebelum berlepas ke Paroi pada Jumaat.
Menurut Zamri, Sang Kenari tidak memiliki pemain bintang atau profesional, namun semangat berpasukan yang ditunjukkan menjadi kekuatan utama mereka.

Zamri Pin (duduk, kanan) menjaringkan gol kemenangan KDA FC mengatasi Machan FC 1-0 pada minggu lalu. FOTO KDA FC
“Selepas sebulan berlatih penuh, saya nampak banyak perubahan positif. Semua pemain beri 100 peratus semasa latihan dan setakat ini tiada kecederaan. Mereka sedia diturunkan,” ujarnya.
Tambahnya, perlawanan menentang Bunga Raya FC dijangka sengit kerana lawan itu pasti mahu bangkit selepas tewas 4-0 kepada ATM FA pada aksi pertama.
“Kita kena bersedia dari semua sudut. Kalau kita menang lagi, momentum akan terus meningkat. Saya seru semua pemain muda untuk terus berjuang demi mata penting di Paroi,” katanya.
Tambah Zamri, pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar turut mengucapkan tahniah atas kemenangan pertama pasukan tersebut dan menyifatkan kejayaan itu sebagai luar biasa memandangkan pasukan berdepan pelbagai kekangan termasuk bajet.