Sang-sik akui Harimau Malaya penuh misteri

Sang-sik akui Harimau Malaya penuh misteri


Sang-sik (kiri) akui perlawanan menentang Malaysia akan menjadi perlawanan sukar. Foto FAM

SKUAD Harimau Malaya boleh diibaratkan sebagai pasukan penuh misteri apabila pengendali Vietnam, Kim Sang-sik mengakui tidak dapat menjangkakan kekuatan atau kelemahan yang dimiliki pasukan Malaysia.

Menurut Sang-sik, mereka tidak mendapat banyak maklumat mengenai pemain Harimau Malaya yang kali ini tampil berbeza dengan tambahan pemain warisan baharu.

“Ia menyukarkan perancangan kami. Sukar untuk menilai para pemain (Harimau Malaya) kerana kami tidak ada banyak maklumat tentang mereka.

“Namun kami tetap membuat persiapan yang rapi dan akan menilai pemain-pemain yang akan diturunkan menentang Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar pra perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dalam pada itu, Kapten Vietnam, Do Duy Manh menegaskan skuad Naga Emas itu mempunyai perancangan dan taktikal tersendiri untuk menundukkan skuad Harimau Malaya di Bukit Jalil.

Menurutnya, walaupun tidak mempunyai banyak maklumat tentang pemain Malaysia, namun dia percaya pendekatan yang akan digunakan Sang-sik akan membantu pasukan itu meraih tiga mata berharga.

“Perlawanan esok adalah perlawanan yang sangat penting dalam Kumpulan F bagi Kelayakan Piala Asia. Ia adalah perlawanan di tempat lawan, jadi bukan sesuatu yang mudah untuk dijangka. Tetapi saya rasa pasukan kami akan membuat persiapan yang baik.

“Selain itu, kami mempunyai perancangan tersendiri untuk perlawanan esok. Saya sendiri dan para pemain akan cuba mengikuti semua arahan ketua jurulatih. Kami akan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan keputusan yang baik esok,” katanya.

Untuk rekod, Vietnam mempunyai rekod baik menentang Malaysia apabila mencatatkan tujuh kemenangan dan satu keputusan seri dalam lapan perlawanan terakhir.



Source link

OR

Scroll to Top