Kuala Lumpur: Lebih 50 pengamal media memeriahkan perlawanan persahabatan Santai Pickleball YAPEIM Bersama Media yang berlangsung di Bounce and Rally @ Elevate Social Club, Cyberjaya, baru-baru ini.
Program ini dianjurkan bagi mengeratkan hubungan mesra antara Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dan pengamal media di Lembah Klang yang sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada yayasan dalam menyebarkan maklumat dan program sosioekonomi mereka.
Selain memupuk semangat kerjasama, acara ini menekankan kepentingan gaya hidup sihat dan work-life balance.
Aktiviti riadah seperti pickleball dijadikan medium untuk pengamal media bergerak aktif sambil bersantai dari rutin harian yang padat.
Tiga persatuan media, iaitu Kelab Media KL & Selangor (KLS), Kelab Media Putrajaya (KMP) dan Pertubuhan Wartawan Jurugambar Selangor (WAJAR), hadir menghantar wakil masing-masing.
Kehadiran mereka menambah keceriaan kejohanan dan membuktikan sokongan media terhadap usaha YAPEIM.
Kejohanan turut dihadiri Ketua Pengarah YAPEIM, Tuan Haji Zabidi bin Nasan, bersama pengurusan utama dan warga kerja yayasan.
Beliau menegaskan bahawa kerjasama media amat penting dalam menyebarkan maklumat secara adil dan tepat, sekali gus membantu menaikkan imej YAPEIM di mata masyarakat.
Selain itu, sejak penubuhan pada 1985, YAPEIM telah mengagihkan lebih RM725 juta membabitkan lebih 10.1 juta penerima manfaat.
Bantuan ini merangkumi program Pembangunan Ekonomi Islam, Pendidikan dan Kemasyarakatan yang dilaksanakan secara inklusif dan sistematik, membuktikan komitmen yayasan dalam membantu masyarakat yang memerlukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






