Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa cadangan penubuhan sekretariat Rumah Bangsa Malaysia oleh United Malays National Organisation (UMNO) dilihat sebagai usaha parti itu untuk kembali mengukuhkan kedudukan dalam politik Melayu.
Harap UMNO insaf
Memetik laporan daripada Berita Harian, beliau menyatakan setakat ini perkara tersebut belum dibincangkan di peringkat partinya walaupun sudah menjadi perbualan dalam kalangan pemimpin politik.
“Pada pandangan saya itu cubaan UMNO untuk berkuasa kembali dan menjadi ‘abang besar’ semula. Dalam parti kita sendiri perkara ini belum dibincangkan lagi.
“Masa dia sesak dia cari orang Melayu, masa dia rasa nak berkuasa dia cari kita. Masa dia seronok dia jadi kerajaan dengan DAP, itu UMNO, kita harap dia insaf,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada fakir miskin di Wisma Darul Aman di Kedah.
Kuatkan dahulu politik orang Islam
Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat dan Perikatan Nasional berkata, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sentiasa berpegang kepada prinsip perjuangan Islam dan Melayu dalam usaha memperkukuh perpaduan ummah serta mengembalikan kuasa politik orang Islam.
“Kalau kuasa politik orang Islam hilang, jadi kacau bilau habis. Semua orang nak cakap, semua orang ada kepentingan yang sama banyak, jadi habis berselerak seperti sehari dua ini.
“Jadi kuatkan dulu politik orang Islam dengan demikian dapat menjaga keharmonian semua kaum yang ada di negara ini, Islam tak membenarkan kita menindas tidak membenarkan kezaliman dan diskriminasi, Betul-betul pegang yang Islam ajar,” katanya.

Sebarang kerjasama perlu dilakukan secara ikhlas
Pada masa sama, beliau menegaskan sebarang kerjasama politik perlu dilakukan secara ikhlas dan bukan sekadar strategi sementara.
“Orang boleh nampak ikhlas atau tidak. Sekarang ini bukan dunia berlakon, walaupun kepala tak nampak, ekor orang boleh nampak samada itu ekor lembu atau ekor anjing.
“Cakap terus terang dan ikhlas, barulah boleh kuatkan politik umat Islam untuk jaga keharmonian semua kaum di negara ini,” katanya.

Sekadar info, Rumah Bangsa merujuk kepada cadangan penubuhan sebuah sekretariat atau platform yang dibawa oleh United Malays National Organisation (UMNO) untuk menghimpunkan pelbagai pihak dalam memperkukuh perpaduan masyarakat serta membincangkan isu berkaitan kepentingan negara.
Inisiatif ini dilihat sebagai ruang dialog dan kerjasama melibatkan parti politik, badan bukan kerajaan serta tokoh masyarakat bagi mencari titik persamaan dalam hal-hal yang menyentuh rakyat.
Sumber: Berita Harian (Noorazura Abdul Rahman)






