September 8, 2024

Saraswati Ketua Wanita MIC baharu

Saraswati Ketua Wanita MIC baharu


KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, Saraswati Nallathamby menang tanpa bertanding jawatan Ketua Wanita MIC Kebangsaan bagi penggal 2024-2027 selepas penamaan calon sayap berkenaan semalam.

Turut menang tanpa tanding ialah Timbalan Ketua Wanita Kebangsaan, Dr P Thanaletchumy.

Difahamkan pada pemilihan bagi penggal ini, tiada persaingan buat Saraswati selepas penyandang sebelum ini, Datuk M Mohana membuat keputusan tidak bertanding sebaliknya memberikan ruang kepada muka baharu.

Keputusan pemilihan sayap Wanita diumumkan oleh Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran selepas proses pencalonan dibuka di ibu pejabat MIC semalam.

Vigneswaran turut melahirkan harapan tinggi terhadap kepimpinan Saraswati dalam mengemudi pasukannya supaya Wanita MIC akan terus diperkasakan bagi memastikan sayap parti itu mampu selari dengan perjuangan parti terbesar masyarakat India itu.

Dalam pada itu, mantan Ketua Wanita MIC Kebangsaan merangkap bekas Ahli Dewan Negara, Usha Nandhini Jayaram pula melahirkan rasa teruja dengan kemenangan Saraswati.

Mantan Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Usha Nandhini ucap tahniah.

“Tahniah dengan kemenangan ini, saya sudah lama mengenali  Saraswati dan amat pasti dengan kepimpinan beliau dalam membawa sayap Wanita MIC ke peringkat lebih tinggi. MIC memerlukan pemimpin seumpama ini.

“Saraswati bukan sahaja antara pemimpin wanita yang sudah lama menabur bakti dalam parti sebaliknya juga berpengalaman luas dalam politik dan kebajikan masyarakat terutamanya apabila kita bercakap tentang kepentingan golongan hawa di negara ini. Saya amat pasti beliau dapat akan jalankan amanatnya dengan sempurna.

“Saya bersedia untuk membantu pada bila-bila masa kerana akhirnya apa yang penting bukanlah nama sebaliknya asas perjuangan, memberikan kehidupan yang lebih baik untuk bukan sahaja komuniti kita tetapi semua secara keseluruhan,” ujarnya. -MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top