Selepas mencuri perhatian pendengar menerusi lagu Lemak Manis, penyanyi muda dari Indonesia, Farel Prayoga kembali mempertaruhkan karya terbaharu berjudul HambaMu yang dilancarkan secara rasmi hari ini di semua platform digital. Single ini merupakan pelancaran rasmi kedua Farel untuk pasaran Malaysia dan dianggap sebagai satu fasa penting dalam perkembangan kerjaya seninya yang semakin matang.
HambaMu hadir sebagai sebuah lagu bernuansa spiritual yang mengangkat penghayatan mendalam, hasil sentuhan komposisi muzik oleh Ippo Hafiz dan lirik ciptaan Alif. Diterbitkan oleh Indigital Music, karya ini membawa mesej keinsafan, kerendahan diri dan hubungan seorang insan dengan Sang Pencipta, sekali gus menjadikannya dekat di hati pendengar daripada pelbagai peringkat usia.
Pasukan produksi menjelaskan lagu ini menampilkan sisi Farel yang lebih reflektif dan mendalam berbanding karya terdahulu, namun masih mengekalkan kekuatan vokal serta kejujuran emosi yang menjadi identiti penyanyi itu sejak awal kemunculannya. Menurut mereka, pendekatan kali ini memberi ruang kepada Farel untuk menyampaikan emosi secara lebih tenang dan matang.
Sebelum ini, Farel Prayoga mencipta fenomena tersendiri menerusi lagu Lemak Manis yang menjadi titik penting dalam perjalanan awal kerjayanya di Malaysia. Lagu tersebut bukan sahaja memperkenalkan bakat Farel kepada khalayak yang lebih luas, malah membuka jalan kepada perkembangan muzik yang lebih konsisten dan tersusun dari semasa ke semasa.

Menerusi pelancaran HambaMu, Farel menunjukkan kesediaan untuk terus bereksperimen dengan tema yang lebih luas serta emosi yang lebih mendalam, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik serantau. Lagu ini turut memperlihatkan kematangan dalam pemilihan karya yang tidak terikat kepada satu genre semata-mata.
Menariknya, video muzik HambaMu menjalani penggambaran di Istanbul, Turkiye, sekali gus menambah kekuatan visual yang menyokong penghayatan lagu tersebut. Visual yang dipaparkan dilihat mampu menguatkan mesej spiritual lagu, menjadikannya bukan sahaja enak didengar tetapi turut memberi kesan mendalam kepada penonton.
Single HambaMu kini boleh distrim di semua platform digital utama bermula 28 Januari, manakala video muzik rasmi boleh ditonton menerusi saluran YouTube Indigital Music.






