Pelakon dan anggota Kumpulan Elite, Abby Abadi meluahkan perasaan teruja apabila mendengar nasihat yang disampaikan oleh ayah Amira Othman iaitu Othman Kadir saat menitipkan ucapan istimewa di hari perkahwinan anaknya itu.
Kata Abby atau nama lengkapnya, Arbaiyah Abdul Manan, 47, kata-kata yang keluar dari mulut bapa kepada penyanyi itu sarat dengan peringatan yang hebat.
“Saya tak pernah dengar nasihat macam nasihat dari ayah Amira Othman. Dan saya suka sangat-sangat.
“Sarat dengan peringatan yang hebat dari seorang ayah yang hebat,” katanya.
Dalam perkongsian sama, Abby juga menyifatkan ayah Amira Othman sebagai seorang figura yang penting dalam mendidik anak-anak menjadi manusia yang berguna.
“Memang betullah, ada ayah macam ni lah yang akan membuatkan anak-anak terdidik dengan baik.
“Terbukti figura seorang ayah sangat penting untuk anak-anak membesar menjadi manusia yang bernilai,”luahnya.
Perkara itu dikongsi Abby menerusi hantaran di platfrom Threads miliknya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet bersetuju dengan pendapat Abby apabila figura seorang ayah itu sangat penting kepada tumbesaran anak-anak.
Malah, terdapat segelitntir daripada peminat pasangan berkenaan, meluahkan rasa sebak dengan ucapan berkenaan.
Terdahulu, bapa Amira tidak dapat menahan sebak sewaktu menitipkan pesanan buat menantunya, aktor, Fattah Amin.
Pesanan itu diberikan Othman dalam majlis persandingan Amira dan Fattah yang diadakan di Dewan Persada Johor Bahru, Johor, pada Sabtu lalu.