June 13, 2024

Sarjit bayangkan empat pemain senior sertai Speedy Tigers


KETUA jurulatih pasukan hoki kebangsaan Sarjit Singh membayangkan skuad Speedy Tigers untuk Piala Sultan Azlan Shah bulan hadapan akan diterajui empat pemain senior.

Pemain tersebut ialah penjaga gol Muhammad Hafizuddin Othman, 32, pemain pertahanan Muhammad Marhan Jalil, 34, pemain tengah Mohd Fitri Saari, 31, dan Faizal Saari, 33, yang kesemuanya merupakan pemain berpengalaman skuad hoki lelaki negara.

Dua beradik Mohd Fitri dan Faisal yang kini bermain di Liga Hoki Bangladesh, akan menyertai latihan pasukan pada hujung bulan ini.

Sarjit, yang kini sedang membentuk semula pasukan sebagai persediaan untuk layak ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028, akan menyenarai pendek 18 pemain daripada 30 pemain untuk kejohanan jemputan di Ipoh dari 4-11 Mei.

“Saya berharap keempat-empat pemain ini, sudah tentu (jika) tahap kecergasan mereka baik dan mereka bebas daripada kecederaan. Kami akan membina satu pasukan dengan mereka, kerana pemain lain masih muda… diharapkan empat pemain ini akan dapat membimbing pemain muda.

“Namun, tiada mana-mana pemain yang tempatnya terjamin, kita mahu berikan kesemuanya peluang sama rata. Tetapi, sebagai pemain senior mereka kena bimbing pemain muda, dan kita akan nilai dari segi latihan,” katanya kepada media ketika ditemui semasa sesi latihan di Stadium Hoki Nasional, di sini hari ini.

Sarjit, 62, akan mengumumkan skuad ke Piala Sultan Azlan selepas perlawanan persahabatan menentang pasukan ke-10 dunia New Zealand pada 1 Mei di Ipoh, sebelum satu lagi perlawanan persahabatan menentang Korea Selatan, pada keesokkan harinya.

Beliau berkata pemain akan mempunyai kira-kira 35 ke 40 perlawanan bagi membuktikan kelayakan mereka dalam pasukan itu, tahun ini.

Selepas Piala Sultan Azlan yang menjadi ujian pertama Sarjit, Speedy Tigers akan menyertai kejohanan Piala Negara-negara di Poland dari 30 Mei hingga 1 Jun dan Piala Juara-juara Asia dari 8 hingga 17 Sept di Inner Monggolia, China.

“Bukan mudah untuk pemain berada dalam senarai 18 terakhir. Ia juga sukar buat jurulatih untuk memilih, kerana kumpulan ini terdiri daripada pemain muda, tetapi kita boleh mempunyai pilihan pemain untuk kejohanan-kejohanan ini,” katanya.

Malaysia yang kini menduduki tangga ke-13, dunia akan memulakan cabaran mempertahankan kejuaraan mereka di Ipoh berhadapan juara tiga kali Pakistan pada 4 Mei, diikuti perlawanan menentang Kanada (5 Mei) dan juara dua kali New Zealand (7 Mei), Jepun (8 Mei) dan juara tiga kali Korea Selatan (10 Mei).

Mengikut format kejohanan, dua pasukan teratas selepas pusingan robin akan menentukan juara, manakala pasukan di tempat ketiga dan keempat akan menentukan pemenang pingat gangsa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top