Sarjit sedia berundur jika gagal layak ke Piala Dunia

Sarjit sedia berundur jika gagal layak ke Piala Dunia


KETUA jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, Sarjit Singh menyatakan kesediaannya untuk berundur sekiranya Malaysia gagal layak ke Piala Dunia yang akan berlangsung di Belgium dan Belanda pada Ogos tahun hadapan.

Jelas Sarjit, kejayaan di pentas Piala Asia 2025 di Rajgir, India dari 27 Ogos hingga 7 September ini menjadi kunci utama ke arah misi itu, sekali gus menentukan hala tuju pasukan menjelang impian lebih besar iaitu kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

“Saya diberi mandat untuk layak ke Olimpik. Tetapi saya sedar, membentuk pasukan mantap tidak boleh dilakukan dalam masa singkat.

“Jika kami gagal layak ke Piala Dunia, saya sendiri akan berundur,” katanya tegas.

Jurulatih berusia 62 tahun itu menyatakan pasukan kini dalam fasa pembinaan semula yang memerlukan masa dua hingga empat tahun, memandangkan majoriti pemain masih muda dan kurang pengalaman di pentas antarabangsa.

Malaysia sebelum ini meletakkan sasaran mara ke separuh akhir Piala Negara-Negara di Bukit Jalil, namun hanya menamatkan kempen di tempat keenam selepas tewas 1-2 kepada Wales dalam aksi penentuan kedudukan kelima dan keenam.

Namun, Sarjit enggan menyalahkan pemain dan menegaskan bahawa tanggungjawab sepenuhnya terletak di bahunya sebagai jurulatih utama.

“Kita tak boleh salahkan pemain. Saya sendiri bertanggungjawab. Mereka perlukan masa, keyakinan dan sokongan penuh,” ujarnya.

Beliau turut menekankan keperluan mendedahkan pemain kepada lebih banyak kejohanan kompetitif berbanding aksi persahabatan, bagi membina kematangan taktikal dan kekuatan mental.

“Kita perlu hadapi lebih banyak kejohanan seperti ini (Piala Negara-Negara). Perlawanan persahabatan tak cukup. Ia perlu lebih serius untuk bina pasukan kukuh,” katanya.

Jika Malaysia gagal muncul juara Piala Asia, mereka hanya berpeluang ke Piala Dunia menerusi pusingan kelayakan yang dijadualkan berlangsung dari akhir Februari hingga awal Mac 2026.

Sebagai rekod, hanya juara kejohanan benua, juara Liga Profesional 2023/24 dan 2024/25 serta tuan rumah Belgium dan Belanda akan layak secara automatik.

Tujuh slot selebihnya akan diisi menerusi pusingan kelayakan, menjadikan keseluruhan 16 pasukan di pentas dunia.



Source link

OR

Scroll to Top