kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Aplikasi e-hailing tempatan, GV Ride (GVR) bersedia memperkenalkan perkhidmatan kenderaan elektrik (EV) menjelang akhir tahun ini, menjadikannya syarikat e-hailing pertama di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan seumpamanya.
Ketua Pegawai Eksekutif GV Ride, Kabeer Maand berkata, pihaknya menyasarkan kira-kira 2,500 unit EV akan digunakan di sekitar Lembah Klang.
Katanya, jumlah itu akan dimulakan secara berperingkat bermula akhir tahun ini dan seterusnya, dikembangkan ke kawasan sasaran.
“Syarikat sekarang sedang berunding dengan pembekal dari China untuk fasa pertama penyepaduan EV ke dalam platform GV Ride,” katanya.
GVR, memulakan praoperasinya pada September, dimiliki oleh GV Car Ventures Sdn Bhd (GVV) iaitu satu daripada 30 syarikat yang berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad).
Kabeer berkata, setakat ini, GV Ride mempunyai 15,000 pemandu berdaftar dan syarikat menyasarkan 50,000 pemandu menjelang akhir tahun sejajar usaha agresif syarikat mengembangkan perkhidmatannya ke seluruh negara.
Menurutnya, pemandu akan diselia wakil dilantik atau bagi setiap negeri kecuali Perak Utara, Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Langkawi yang diuruskan oleh persatuan yang dilantik oleh GVR.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya menawarkan sejuta tempahan percuma bernilai RM15 dan ke bawah sempena pelancaran perkhidmatannya di seluruh Malaysia.
“Kami memperuntukkan lebih kurang RM2.5 juta bagi menawarkan promosi sejuta tempahan percuma kepada pengguna GV Ride.
“Perkhidmatan GV Ride turut menawarkan potongan komisen paling rendah iaitu 9.0 peratus daripada kadar tambang berbanding penyedia e-hailing lain yang mengaut keuntungan antara 12 hingga 20 peratus bagi setiap tempahan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd