IKON muay thai, Superbon Singha Mawynn berkata, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar ditakdirkan untuk mencapai kegemilangan dan meramalkan petarung berusia 18 tahun itu bergelar juara ONE Championship satu hari nanti.
Menurut pemilik nama sebenar Suppachai Muensang ini lagi, Johan tidak seperti petarung muda lain yang sering mencipta pelbagai alasan semata-mata ponteng latihan.
Tambah Superbon, persepsinya berubah selepas melihat sendiri etika dan disiplin Johan sepanjang menjalani latihan di gim miliknya sejak tiga bulan lalu.
Johan atau lebih dikenali sebagai Jojo, berkelana ke Thailand untuk berguru di bawah tunjuk ajar Superbon dan jurulatih terkemuka, Suthat Muangmun sebagai persiapan menentang Johan Estupinan dalam ONE 170 yang telah berlangsung di Impact Arena, Bangkok baru-baru ini.
“Ketika Jojo pertama kali datang ke gim, saya tidak fikir dia begitu hebat. Dia masih muda, tidak berpengalaman dan hanyalah salah seorang daripada ramai anak muda yang mencuba nasib dalam sukan muay thai.
“Kemudian saya melihat dia berlatih dan saya sedar dia berbeza. Pada usia hanya 18 tahun, dia sudah ada matlamat, fokus dan bijak dalam latihannya.
“Semasa saya seusianya, saya tidak begitu sebaliknya malas dan kerap mencari alasan untuk ponteng latihan,” ujar Superbon yang memiliki rekod pertarungan 116-37.
Pada Jumaat lalu, Johan (25-8) tidak memberi laluan mudah kepada Estupinan sebelum tewas menerusi keputusan sebulat suara kepada lawannya itu.
Ia adalah kekalahan kedua Johan dalam lapan penampilan kelas flyweight ONE Championship.
Pada Jun lalu, Johan mengalami kekalahan pertamanya di ONE Championship selepas tewas kepada petarung veteran Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat.
Namun tiga bulan selepas itu, Johan bangkit penuh bergaya menumbangkan jaguh Mexico, Josue Cruz menerusi knockout (KO) pada ONE 168 di Ball Arena, Denver, Colorado, Amerika Syarikat.
Kemenangan itu bukan sahaja memperbaiki rekodnya dalam ONE Championship kepada 6-1, malah Johan turut membawa pulang bonus prestasi sebanyak AS$50,000 (kira-kira RM222,000).