Satu hari, satu filem rutin wajib Isyariana

Satu hari, satu filem rutin wajib Isyariana


SUDAH menjadi lumrah bagi sesetengah anak seni, kesibukan bekerja membuatkan mereka cuba mencari masa terluang untuk diri sendiri dan berehat. 

Mungkin ada sesetengah selebriti, mereka memilih untuk melancong sebagai cara untuk membayar segala penat lelah bekerja. 

Namun, bagi pelakon dan penyanyi, Isyariana menonton televisyen dan f ilem di rumah adalah cara terbaik untuk dirinya membalas dendam terhadap segala kepenatan setelah bekerja. 

“Saya sangat suka menonton televisyen, filem, rancangan realiti di Netflix dan platform lain. Ini kerana saya suka tengok dan mengkaji watak-watak yang dibawakan dalam setiap filem yang saya tonton. 

“Bukan itu sahaja, aktiviti ini juga membantu melegakan segala stres dan kepenatan bekerja. Itu yang paling penting,” katanya kepada Pancaindera. 

Kata penyanyi yang berusia 35 tahun itu, minatnya untuk menonton televisyen mahupun rancangan realiti terbuka kepada pelbagai genre tanpa batas. 

“Saya sedar minat saya terhadap menonton filem ini muncul sejak saya mula berkecimpung dalam industri 10 tahun lalu. 

“Setiap kali saya cuti dari sebarang penggambaran dan nyanyian, saya akan seboleh bolehnya mencari peluang untuk menonton filem atau televisyen. Saya suka tengok semua filem tapi tidak suka tengok berulang kali cerita yang sama. 

“Antara genre filem yang saya suka tonton adalah seram, thriller, romantik komedi. Jika rancangan realiti pula saya suka tengok program masakan seperti Gordon Ramsay dan Hell Kitchen,” jelasnya. 

Tambahnya, aktiviti itu juga sudah menjadi rutin harian yang wajib buat dirinya agar dapat melepaskan segala tekanan dan kepenatan setelah sibuk bekerja. 

“Kesibukan bekerja membuatkan saya sentiasa menantikan waktu cuti untuk membahagikan masa buat diri sendiri. 

“Walaupun hobinya sekadar menonton televisyen, pada saya ia tetap mencabar untuk melakukannya kerana terpaksa tunda sekiranya ada penggambaran.

 “Setiap kali dapat menonton televisyen, dia ibarat balas dendam pada diri sendiri kerana dapat meluangkan masa selepas bekerja. 

“Setelah seharian di luar rumah atau bekerja saya pasti mahu menonton satu filem. Itu perkara wajib untuk saya lakukan,” katanya lagi. 

Dalam masa sama, penyanyi lagu Andai Tiada Dia itu mengakui minatnya yang mendalam terhadap menonton televisyen membuatkan dirinya mengisi setiap ruang dengan TV dan projektor. 

“Kerana minat yang mendalam untuk menonton televisyen, saya mempunyai TV yang diletakkan di ruang tamu dan dua projektor di ruang bilik. Sekarang pun saya dalam perancangan untuk tambah lagi TV di ruangan lain,” kongsinya. 

Kata Isyariana, menonton televisyen benar-benar membantunya untuk berehat dengan tenang dan menumpukan perhatian pada diri sendiri tatkala sibuk mencipta nama dalam persada seni. 

“Bagi penggiat seni seperti saya, kami sentiasa berdepan dengan dunia luar lebih lama berbanding di rumah. Jadi, me time itu sangat saya perlukan. 

“Dengan cara itu juga saya dapat melegakan minda saya, menghilangkan penat saya dan membawa saya ke dunia lain tanpa memikirkan soal kerja,” ujarnya.





Source link

OR

Scroll to Top