Satu tiket separuh akhir Terbuka China dalam tangan

Satu tiket separuh akhir Terbuka China dalam tangan


Dua pasangan negara akan membuat perhitungan dalam aksi suku akhir pada Jumaat untuk merebut tiket ke separuh akhir Terbuka China. Foto Agensi

SATU tiket separuh akhir Terbuka China 2025 sudah pun menjadi milik kem badminton negara apabila dua beregu lelaki Malaysia bakal bertembung sesama sendiri dalam saingan suku akhir pada Jumaat.

Pasangan nombor dua dunia, Aaron Chia–Soh Wooi Yik akan membuat perhitungan dengan rakan sepelatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Man Wei Chong–Tee Kai Wun dalam perlawanan kelompok lapan terbaik tersebut.

Aaron–Wooi Yik mara ke suku akhir selepas menewaskan pasangan adik-beradik dari Perancis, Christo Popov–Toma Junior Popov secara straight set dalam pusingan kedua pada Khamis.

Gandingan negara itu tidak berdepan masalah untuk mengatasi cabaran pasangan Perancis berkenaan apabila hanya mengambil masa 35 minit untuk mencatat kemenangan 21-17, 21-18 di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou.

Juara dunia 2022 itu sebelum ini tersingkir seawal pusingan pertama dalam dua kejohanan terakhir musim ini iaitu Terbuka Indonesia pada Jun dan Terbuka Jepun minggu lalu.

Aaron–Wooi Yik kini mengintai kejuaraan keempat musim 2025 selepas merangkul gelaran di Kejohanan Badminton Asia, Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura.

Sementara itu, Wei Chong–Kai Wun pula mara ke suku akhir selepas menumpaskan rakan senegara, Nur Mohd Azriyn Ayub–Tan Wee Kiong.

Pasangan nombor tujuh dunia itu bagaimanapun terpaksa berhempas pulas sebelum mencatat kemenangan ke atas gandingan profesional tersebut dalam pertarungan tiga set.

Wei Chong–Kai Wun bermula hambar apabila tewas set pertama 17-21, namun bangkit dengan aksi bertenaga untuk mengesahkan kemenangan 21-17, 21-19 dalam tempoh 57 minit permainan.

Pasangan itu sebelum ini muncul juara Masters Malaysia selepas menewaskan Aaron–Wooi Yik dalam aksi final di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Mei lalu.



Source link

OR

Scroll to Top