'Saya ajar mangsa mengucap sebelum nafasnya terhenti'

'Saya ajar mangsa mengucap sebelum nafasnya terhenti'


am@hmetro.com.my

Batu Pahat: “Saya sempat mengajar remaja perempuan berkenaan mengucap dua kalimah syahadah sebanyak tiga kali ketika dia berada di bawah treler. Tidak lama kemudian, nafasnya secara perlahan-lahan terhenti sebelum dia terus tidak lagi bergerak.”

Demikian kata Pengasas Pertubuhan Unit Amal Van Jenazah Muafakat Daerah Batu Pahat Kapten Wahyu Hidayat Hamdan, 45, ketika menceritakan detik akhir seorang pelajar perempuan yang meninggal dunia selepas digilir treler, semalam.

Kapten Wahyu yang juga antara individu terawal tiba di lokasi dimaklumkan berkaitan kemalangan membabitkan treler dan motosikal berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Tongkang Pechah, 4.30 petang, itu oleh anak lelakinya.

Nurul Maisarah Mahathir, 16, yang juga pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putra, Tongkang Pechah, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala.

Menceritakan lebih lanjut, sebelum kejadian, Kapten Wahyu meminta anak lelakinya, Muhammad Nur Shahir, 15, membaiki motosikal tidak jauh dari lokasi kemalangan.

“Anak menghubungi saya memberitahu ada kemalangan. Dia beritahu terdengar suara perempuan menjerit dan saya terus bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba, pemandu treler beritahu, dia tidak perasan ada motosikal di tepinya. Kemudian saya tanya, mangsa di mana dan pemandu treler menunjuk ke arah bawah treler.

“Dia beritahu mangsa pada ketika itu masih bernyawa lalu saya terus masuk ke bawah treler dan ajar dia mengucap. Mangsa ketika itu dalam keadaan nazak.

“Bila mengucap kali ketiga, mangsa seolah-olah mengeluarkan hembusan sebelum tidak memberi maklum balas,” katanya ditemui.

Bapa mangsa, Mahathir Sairi, 45, berkata, kejadian menyebabkan dia kehilangan anak perempuan tunggal.

“Anak keluar dari rumah di Taman Puteri Indah, Tongkang Pechah selepas rakannya mengajak dia minum.

“Kemalangan berlaku ketika dia mahu singgah di kedai serbaneka untuk membeli mi segera. Saya dapat tahu kemalangan itu bila isteri, Aliza Ahmad, berusia 39 tahun dan rakan, menghubungi saya.

“Paling sedih, duit RM10 yang saya beri tidak sempat dia belanja, duit itu ditemukan dalam seluarnya,” katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Peserai, 11.30 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kemalangan berlaku ketika treler terbabit mahu membelok ke kanan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top