Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyifatkan reaksi spontan yang tular di media sosial baru-baru ini sebagai sesuatu yang normal dan berlaku tanpa disengajakan.
Menurut Siti, dunia media sosial sememangnya bergerak pantas dan kebanyakan perkara berlaku secara spontan.
“Memang dunia media sosial begitulah. Semua tak sengaja,” katanya ringkas.
Dalam masa sama, Siti mengakui terharu melihat sikap peminatnya yang sentiasa menjaga adab dan kredibiliti, khususnya apabila berdepan situasi yang boleh dijadikan bahan gurauan.
“Dari satu sudut pandangan, baguslah peminat saya ni menjaga aib, menjaga adab sopan supaya tidak menjadi bahan gelak. Tapi dalam masa sama, perkara itu berlaku secara spontan,” jelasnya.
Siti berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui pada sidang media rasmi Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang diadakan di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Siti berkata situasi tersebut turut disambut secara santai oleh suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K.
“Datuk K pun gelak sahaja. Masa tu dia santai-santai kan. Nak buat macam mana, benda dah jadi,” katanya.
Siti turut membandingkan situasi berkenaan dengan budaya luar negara yang lebih terbuka, namun menegaskan masyarakat Malaysia mempunyai nilai dan adab tersendiri.
“Kalau dekat luar negara benda ni normal. Cuma kita orang Malaysia, kita ada adab kita kan,” ujarnya.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Menamakanmu Cinta itu memilih untuk melihat perkara tersebut dari sudut positif dan menganggapnya sebagai sesuatu yang menceriakan.
“Tapi benda ni semua menceriakan sahaja. Saya ambil ni dari sudut yang positif,” katanya.
Pendekatan tenang dan berlapang dada itu sekali lagi membuktikan kematangan Siti Nurhaliza dalam menangani isu tular, selari dengan statusnya sebagai ikon seni yang sentiasa dihormati peminat.
Dalam perkembangan lain, Siti kini sedang sibuk menjalani proses latihan untuk konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang akan berlangsung pada 10 Januari depan.
ARTIKEL BERKAITAN:Giat Buat Persiapan Demi Konsert 3 Jam Dengan Lebih 30 Lagu… Siti Nurhaliza Jaga Stamina, Elak Minuman Berais
ARTIKEL BERKAITAN:“Peminat Ini Adalah Kekuatan” – Siti Nurhaliza Ziarah Peminat Setia Di ICU, Titip Doa Ada Keajaiban
ARTIKEL BERKAITAN:Pemenang Termuda Di ABPBH 37, Umai Umairah Pecah Rekod Siti Nurhaliza






