Harimau Malaya berjaya menewaskan Vietnam 4-0 pada aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski berbangga dengan persembahan dipamerkan para pemainnya selepas membelasah Vietnam 4-0 dalam aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.
Menurutnya, kemenangan itu bukti kesungguhan dan fokus pemain dalam sesi latihan yang dibayar dengan kemenangan berharga.
“Saya bangga dengan persembahan pemain dan kami lakukan untuk Malaysia dan untuk penyokong.
“Persembahan pasukan penentu kemenangan ini. Pemain berlatih dengan gigih.
“Atmosfera di stadium dan sokongan penyokong seluruh negara sememangnya sangat menakjubkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Kemenangan tersebut menyaksikan Malaysia menerajui Kumpulan F dengan enam mata hasil dua kemenangan manakala Vietnam di tempat kedua dengan tiga mata.
Laos pula di kedudukan ketiga juga dengan tiga mata dan Nepal di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.