redzuan.muharam@hmetro.com.my
Bangi: Bukan mudah untuk seorang kakak yang membesar bersama sejak kecil menahan kesedihan sewaktu naik ke atas pentas sebagai wakil bagi mengambil skrol pengajian adik kesayangan yang sudah tiada.
Meskipun begitu, Wan Aishah Wahidah Wan Nasrul Hakim, 24, menguatkan diri walaupun masih bersedih dengan kehilangan adiknya, Allahyarham Wan Adlin Nadhilah Wan Nasrul Hakim, 23, atau nama manjanya Alin yang dijemput Ilahi sebelum sempat hadir meraikan kejayaan tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Berkongsi perasaannya, Wan Aishah Wahidah mengakui tugas sebagai wakil untuk naik ke atas pentas pada istiadat konvokesyen hari ini satu tanggungjawab yang berat.
“Gementar dan tak terkata. Tapi saya bangga (dengan adik).
“Saya reda cuma rasa kehilangan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen ke-53 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) UKM, di sini.
Mengimbas memori bersama, Wan Aishah Wahidah mengakui sangat rapat dengan Alin kerana mereka tinggal sebilik di rumah keluarga dekat Temerloh, Pahang.
Bagaimanapun, Wan Aishah Wahidah sudah lebih sebulan tidak bertemu Alin dan kali terakhir ketika keluarga menghantarnya menjalani latihan industri di sebuah syarikat dekat Alor Setar, Kedah.
“Tetapi kami kerap berhubung menerusi kiriman WhatsApp dan panggilan video.
“Kali terakhir saya mesej arwah pada malam sebelum kejadian. Saya tanya dia mengenai produk penjagaan kulit tapi tak balas mungkin kerana dia sudah tidur.
“Esoknya dapat panggilan daripada ahli keluarga yang arwah sudah tiada.
“Kami duduk sebilik jadi sampai sekarang belum kuat nak tengok baju dan alat soleknya kerana bila pandang saja akan terkenang arwah,” katanya yang masih menuntut dalam Ijazah Sarjana Muda Sastera Bahasa Inggeris di Universiti Sains Malaysia (USM).
Sementara itu, ibunya, Fatin Sharina A Halim, 46, berkata, dia kuatkan diri juga untuk datang ke istiadat konvokesyen hari ini kerana mahu menunaikan impian Allahyarham Alin.
“Tapi saya tak mampu nak naik ke atas pentas. Saya pergi juga sebab arwah teruja nak pergi.
“Jadi dengan cara ini saja dapat tunaikan impian arwah yang sudah lama tunggu (konvokesyen),” katanya.
Dalam pada itu, Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM, Prof Dr Mohd Azlan Shah Zaidi mengucapkan takziah kepada keluarga atas pemergian Allahyarham Alin.
“Difahamkan arwah baik dengan kawan dan keluarga malah suri teladan kerana anak pertama yang habiskan pengajian.
“Harap keluarga tabah hadapi situasi dan saya doakan yang terbaik dalam mengharungi cabaran,” katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah pemergian Alin yang meruntun hati warganet selepas bapanya, Wan Nasrul Hakim Wan Muhammad, 49, memuat naik hantaran gambar swafoto terakhir bersama Allahyarham dan luahannya di Facebook (FB).
Kisah itu memilukan kerana Alin dijemput Ilahi pada 15 November lalu iaitu sebelum sempat meraikan kejayaannya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di UKM.
Alin meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di kilometer (km) 126 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan berdekatan simpang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, Pahang.
Menurut rekod, Alin salah seorang daripada 734 graduan yang menamatkan pengajian di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM sempena Majlis Konvokesyen ke-53, hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd






