Saya bantu PAFA bayar hutang – Saarani

Saya bantu PAFA bayar hutang – Saarani


MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mendedahkan bahawa beliau merupakan individu yang membantu Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) melangsaikan sebahagian hutang yang ditinggalkan pengurusan terdahulu.

Menurutnya, tunggakan bayaran kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) antara yang telah dibayar bagi membantu PAFA ketika kemelut yang melanda persatuan itu.

Jelasnya, ia dilakukan selepas pihak pengurusan PAFA melalui bendaharinya ketika itu, Datuk Sham Mat Sahat mengadakan pertemuan memaklumkan situasi kewangan badan induk bola sepak berkenaan.

Saarani (kanan) menjulang piala pusingan yang menjadi rebutan pasukan bertanding sambil disaksikan Khairudin.

“Suatu ketika dahulu Datuk Sham Mat Sahat jumpa saya sewaktu hutang PAFA berjuta-juta. Saya baca WhatsApp orang maki MB (Menteri Besar) macam-macam. Kaki bangkulah, macam-macam. Tapi mereka tak tahu banyak mana saya terpaksa mencari duit membayar sebahagian daripada hutang itu. Tak payah sebutlah bagaimana saya membantu sedaya upaya untuk membayar hutang LHDN dan EPF (KWSP) yang ditinggalkan orang terdahulu.

“Oleh kerana niatnya ikhlas, hendak kembalikan kecemerlangan PAFA itu kita cari jalan macam mana untuk membiayai dan membayar hutang-hutang EPF dan LHDN. Maka daripada situ saya mengharapkan kita bermula dengan baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Pelancaran Kejohanan Bola Sepak Perak Sejahtera Piala Menteri Besar Perak di sebuah hotel di Ipoh pada Isnin.

Hadir sama pada majlis tersebut Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah dan Presiden PAFA, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin.

Sementara itu, Saarani mengharapkan insiden yang berlaku kepada PAFA itu tidak berulang dan menasihati agar persatuan sukan tidak dipolitikkan.

Beliau juga menyatakan komitmen untuk membantu PAFA asalkan peranan mereka mencari bakat-bakat baharu dalam bola sepak terus diberikan perhatian sewajarnya.

Saarani juga mencadangkan agar PAFA kembali menguruskan pasukan bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) menjelang penganjurannya pada tahun 2026 di Selangor.

Sementara itu, Khairudin ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan menyambut baik cadangan dikemukakan Saarani itu dan akan melihat keperluan tersebut.

“Kita akan bawa dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Majlis Sukan Negeri sebab jawatankuasa inilah yang akan memutuskan berkaitan dengan cadangan supaya PAFA diberi amanah dan tanggungjawab untuk mengendalikan persiapan pasukan Sukma negeri Perak nanti pada 2026 di Selangor.

“Cuma, kita juga mengharapkan PAFA bukan setakat proses menyediakan pasukan Sukma sahaja, tetapi kena juga memberi tumpuan kepada persediaan pasukan bawah umur 16, 18 ataupun 20 tahun supaya proses pembangunan itu berpanjangan,” katanya.

Pada temasya Sukma di Sarawak tahun lalu, pasukan bola sepak Perak mendapat khidmat daripada Perak FC.



Source link

OR

Scroll to Top