Biarpun sudah 25 tahun bergelar anak seni, pelakon versatile, Nabila Huda mengakui dirinya masih belum layak untuk menjadi seorang guru lakonan meskipun ramai yang dahagakan ilmu darinya.
Umum tahu, kehebatan aktres ini membintangi sebarang naskhah bukanlah calang-calang. Namun, dia sendiri masih membumi menggali ilmu lakonan demi kepuasan diri.
“Saya belum layak lagi untuk jadi seorang guru untuk mengajar orang teknik lakonan sebab saya sendiri masih belajar dan terkapai-kapai mahu hidup macam orang biasa.
“Di rumah, saya mahu menjalani kehidupan normal setiap hari. Saya mahu menjadi seorang ibu dan isteri sepenuh masa pun masih belum lepas.
“Jadi, untuk mengajar orang berlakon pula agak sukar. Kalau mereka sekadar bertanya dan mahukan pendapat di lokasi penggambaran, saya terbuka untuk berkongsi jika ada kelapangan masa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Nabila, kemahiran lakonan itu bukanlah berpandukan bakat semata, sebaliknya pengalaman pelakon sendiri untuk menghidupkan sesebuah watak.
“Saya hanya mampu berkongsi ilmu sahaja namun tidaklah sampai mengajar kerana lakonan ini adalah bakat. Ia sebenarnya dari diri sendiri dan kita perlu belajar daripada pengalaman kita sendiri.
“Saya sendiri pun masih perlukan bimbingan seorang guru supaya tidak akan jadi stereotaip. Dari situ juga saya dapat belajar sesuatu yang lain yang kita sendiri pun tidak nampak. Itu yang seronok bila berguru.
“Tapi kita tidak tahu suatu hari nanti. Saya teringin juga mahu gunakan apa yang saya ada kini, apa yang saya faham, apa yang saya belajar sepanjang dalam industri ini dikongsikan kepada mereka.
“Mereka kena tahu sebab benda ini bukan semuanya indah maksud saya bukan dari segi kontroversi atau publisiti. Saya masuk ke dalam industri pun bukan kerana semua itu kerana pada saya tidak penting,” jelasnya.
Media sosial: Popular Tapi Ada Keburukannya
Terpilih sebagai mentor untuk sebuah platform pencarian bakat digital pertama di Malaysia, SocialCelebs, pelakon filem Telaga Suriram itu mengakui generasi kini semakin mudah untuk menonjolkan bakat mereka menerusi media sosial.
Namun, pelakon berusia 41 tahun itu tidak menafikan setiap jalan pintas yang dibentangkan kepada mereka juga mempunyai keburukannya.
“Pada saya, ini adalah platform yang mudah sebenarnya untuk beri pelapis baharu peluang. Jika dahulu, kalau mahu jadi pelakon atau artis kita perlu merantau untuk menghadiri sesi ujibakat.
“Namun, zaman sekarang sudah tidak seperti dahulu lagi. Saya sendiri perlu terus memandang ke hadapan dengan perubahan ini. Jika dulu saya perlu bersusah payah dan lalui pelbagai cabaran gila-gila.
“Mereka sangat beruntung kerana wujudnya media sosial. Tapi mereka kena ingat, ada juga keburukannya. Apabila populariti mereka meningkat terlalu cepat, cepat juga untuk mereka jatuh sebab ada banyak pesaing dan susah untuk kekal relevan,” tegasnya.
Dalam masa sama, Nabila juga menganggap jumlah pengikut di media sosial bukanlah ukuran sebenar bagi seseorang itu serlahkan bakat mereka dalam industri hiburan.
“Kalau mahu jadi seorang pelakon, jujur saja mahu jadi seorang pelakon. Kemudian, barulah jalan itu terbuka. Jangan pernah letakkan dalam minda untuk berada di atas. Tidak perlu.
“Mahu berada di atas boleh, tapi pastikan berbakat. Kalau berada di atas tapi habuk pun tiada saya akan malu. Jadi, tenang saja kerana waktu itu akan tiba. Jangan sia-siakan peluang yang ada.
“Walaupun mereka sudah naik, kerana paling pengikut di media sosial sudah berjuta, sentiasa sedar asal usul. Mereka masih perlu belajar sebab dalam bahasa kasarnya mereka belum cukup masak lagi.
“Tolong sedar diri yang sebenarnya bakat itu belum sampai lagi. Teruskan mencari guru untuk belajar. Jangan bila sudah dapat watak utama terus rasa bangga diri. Jangan sampai orang ‘rengsek’ dengan sikap kita yang kurang pengetahuan itu apabila di lokasi penggambaran,” ujarnya.-UTUSAN