redzuan.muharam@hmetro.com.my
Sungai Buloh: “Saya bukan pilih untuk setia sebab kasihan tapi tak pernah langsung terfikir nak tinggalkan dia.
“Saya setia pun bukan kerana terpaksa atau dipaksa dan syukur rezeki tak pernah putus sejak menjaga suami,” kata Suhazreen Saidin.
Suhazreen, 33, diuji apabila suami tercinta, Abdul Faiz Johor, 34, menghidap Hidradenitis Suppurativa (HS) iaitu sejenis penyakit kulit kronik dan jarang jumpa sejak 2018 iaitu selepas tiga tahun mereka berumah tangga.
Lebih menyedihkan apabila cahaya mata sulung mereka, Ayra Sumayyah Abdul Faiz dunia pada tahun sama selepas 32 jam dilahirkan akibat lemas dalam kandungan diikuti pemergian bapanya, Saidin Soeeb pada 2019 dan ibu mentua, Hasnah Ab Muis tahun berikutnya (2020).
Di sebalik semua ujian itu, Suhazreen yang bekerja sebagai penasihat kewangan bebas masih setia dengan Abdul Faiz walaupun suaminya itu pernah tidak bekerja akibat terlantar sejak 2019 hingga 2024.
Berkongsi kisahnya, Suhazreen berkata, penyakit suaminya itu menyerang dengan tiba-tiba kerana tiada masalah kesihatan ketika awal perkenalan dan perkahwinan mereka.
Katanya, puluhan ribu juga sudah dibelanjakan menerusi ikhtiar perubatan secara moden dan tradisional.
Menurut Suhazreen, doktor pada awalnya tidak dapat mengenalpasti punca sebenar penyakit suaminya peringkat awal dan mereka hanya dapat pengesahan mengenai HS kira-kira seminggu sebelum Aidilfitri tahun ini.
“Saya berkenalan dengan suami di My Space dan masa kenal, dia sihat… waktu kahwin pun dia sihat, kulit pun cantik namun bermula 2016 nampak ada perubahan dan keadaan jadi semakin teruk pada 2018.
“Nak tak nak, saya kena terima kerana dia pun terima saya seadanya… lagipun saya juga tak sempurna jadi tak adil kalau tak boleh menerimanya.
“Memang sedih malah sudah habis air mata sebab puas berusaha hingga doktor minta berubat secara tradisional. Satu Malaysia sudah pusing namun tak ada ubat yang sesuai hingga patah semangat juga dibuatnya,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya dekat Kampung Paya Jaras Hilir, di sini.
Bercerita lanjut, Suhazreen mengakui ada ketikanya lelah kerana perlu bekerja dan pada masa sama menjaga suami yang sakit serta terlantar sebelum ini.
Bagaimanapun, individu sekeliling terutama keluarga banyak memberi sokongan yang memberi kekuatan untuk menanggung ujian berkenaan.
“Saya tak boleh patah semangat jadi kena kuat. Itu pun atas sokongan keluarga terutama emak dan kakak.
“Orang sekeliling kita main peranan…cuma biasalah ada juga persoalkan macam mana saya boleh bertahan dengan suami dan badannya yang berbau sebelum ini akibat nanah juga cecair keluar daripada badannya.
“Permah saya bawa suami ke satu majlis kemudian nampak ada pandang pelik dan macam geli. Ada juga yang tanya kenapa tak bawa suami pergi berubat tapi mereka hanya mampu cakap dak tak tahu pun apa kami lalui,” katanya.
Selagi terdaya, Suhazreen akan terus bersama suaminya dan masih menaruh harapan melihat cinta hatinya itu kembali sembuh seperti sediakala.
“Suami banyak hilang kehidupan pada masa mudanya jadi apa saya harapkan, dia kembali menjalani hidup macam biasa, jadi ayah, suami juga anak yang baik.
“Saya harap juga orang luar dapat terima suami dengan seadanya tanpa memandang jelik sebaliknya bagi sokongan moral.
“Kalau boleh, saya nak orang ramai faham dan tak sangka perkongsian di Threads mengenai penyakit suami mendapat perhatian ramai kerana niat cuma berkongsi serta beri kesedaran,” katanya
yang mempunyai seorang cahaya mata perempuan berumur tiga tahun diberi nama Alya Sufiyya Abdul Faiz.
Sementara itu, suaminya, Abdul Faiz berkata, HS mengakibatkan wajah dan badan terutama pada bahagian pelipat ditumbuhi ketulan seperti bisul yang sebelum ini bernanah serta mengeluarkan cecair.
Kesannya, badan Abdul Faiz jadi berbau sebelum ini hingga dia hilang keyakinan terutama apabila berada di khalayak ramai.
“Mulanya sebiji saja (ketulan) pada bahagian bawah perut sebelum merebak ke kaki, muka, ketiak dan badan.
“Sakit itu sampai saya tak boleh bergerak dan tiga tahun pertama keluar bau hamis serta hanyir sampai malu nak dekat dengan orang
“Tapi isteri bertahan dan banyak bantu saya…hanya Allah SWT saja dapat membalas jasanya.
“Sekarang pun baru boleh pegang anak kerana dulu, dia (anak) nak dekat pun saya tak berani.
“Walaupun tak boleh sembuh tapi doktor kata (penyakit) dapat kawal dan saya bersyukur kerana sudah boleh bekerja sejak tahun lalu malah majikan serta rakan sekerja pun sangat memahami,” katanya yang mencari rezeki sebagai pemandu bas Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).
© New Straits Times Press (M) Bhd






