BEKAS kapten Tottenham Hotspur, Son Heung-min mengakui perpindahan ke kelab Liga Bolasepak Utama (MLS) Amerika Syarikat, Los Angeles FC (LAFC) bukan pilihan utama beliau, namun perbualan bersama Presiden Bersama LAFC, John Thorrington mengubah segala-galanya.
Pemain kebangsaan Korea Selatan itu sah menyertai LAFC dengan yuran perpindahan melebihi £20 juta (RM113 juta), sekali gus menjadi rekod tertinggi dalam sejarah MLS.
Nilai itu mengatasi rekod terdahulu £16.5 juta (RM93 juta) yang dibayar Atlanta United kepada Middlesbrough bagi mendapatkan Emmanuel Latte Lath pada Februari lalu.
Kontrak Heung-min bersama LAFC adalah selama dua tahun dengan pilihan lanjutan dua tahun tambahan.
Pemain berusia 33 tahun itu membuat pengumuman rasmi meninggalkan Spurs selepas sedekad berkhidmat bersama kelab London tersebut.
“Sejujurnya, LA bukan pilihan pertama saya. Tapi selepas musim tamat, saya menerima panggilan daripada John (Thorrington). Perbualan itu benar-benar mengubah hati dan fikiran saya.
“Dia menunjukkan kepada saya destinasi yang patut saya tuju. Kini saya berada di sini, saya sangat gembira dan teruja. LA sebuah kota impian,” kata Heung-min.
Heung-min turut hadir menyaksikan kemenangan 2-1 LAFC ke atas kelab Mexico, Tigres UANL dalam aksi Piala Liga.
Dalam kenyataan media kelab, Heung-min berkata: “Los Angeles memiliki sejarah kejuaraan yang cukup hebat. Saya mahu menulis bab seterusnya.
“Saya hadir ke LA bukan sekadar bermain bola sepak, tetapi untuk julang trofi dan berikan segalanya untuk kelab, kota ini dan para penyokong.”
Heung-min menyertai LAFC yang kini menghuni tangga keenam Konfrens Barat, dan bakal bergandingan semula dengan bekas rakan sepasukannya di Spurs, Hugo Lloris.
Perlawanan terakhir Heung-min bersama Tottenham adalah ketika menentang Newcastle United dalam aksi pramusim di Seoul, Korea Selatan yang berakhir seri 1-1 pada Ahad lalu.
Sejak menyertai Spurs dari Bayer Leverkusen pada 2015, beliau menjaringkan 173 gol dalam 454 penampilan dan mencipta pelbagai rekod peribadi cemerlang.
Paling manis, Heung-min menjadi kapten ketika Tottenham muncul juara Liga Europa selepas menewaskan Manchester United pada Mei lalu kejuaraan pertama kelab itu dalam tempoh 17 tahun.
Sementara itu, Pengerusi Tottenham, Daniel Levy berkata: “Sonny adalah antara pemain terhebat yang pernah menyarung jersi putih ikonik Tottenham. Bukan sahaja pemain berbakat luar biasa, tetapi juga insan luar biasa yang menyentuh hati ramai.
“Beliau banyak menyumbang kepada kelab ini di dalam dan luar padang dan kami akan sentiasa menghargai jasa beliau. Sonny sentiasa dialu-alukan pulang ke Spurs sebagai ahli keluarga kami yang dikasihi.”