September 8, 2024

Saya gembira jadi rakyat Malaysia – Sergio Aguero

Saya gembira jadi rakyat Malaysia – Sergio Aguero


KUALA LUMPUR – Pemain naturalisasi negara, Sergio Aguero mengakui gembira menjadi warganegara Malaysia dan bersyukur diberikan peluang untuk menjadi sebahagian daripada skuad kebangsaan.

Dalam satu temu bual bersama FIFA, Aguero menceritakan mengenai karier dalam arena bola sepak profesional selain berkongsi faktor menerima tawaran untuk menjadi rakyat Malaysia pada 2022 lalu.

“Saya telah menetap dan bermain di Malaysia selama hampir lapan tahun, saya dan isteri mempunyai dua anak yang dilahirkan di sini.

“Kami gembira di sini dan sayangkan Malaysia serta rakyatnya. Jadi apabila peluang muncul untuk menjadi warganegara dan mewakili pasukan kebangsaan, ia adalah impian yang menjadi kenyataan dan keputusan yang sangat mudah untuk dibuat.

“Sungguh mengagumkan untuk mewakili negara yang saya cintai. Setiap kali saya mendapat panggilan, ia adalah impian yang menjadi kenyataan dan saya tidak dapat menjelaskan kegembiraan yang saya rasakan.

“Saya akan sentiasa gembira untuk memakai jersi Malaysia dan akan memberikan segalanya untuk negara ini,” katanya.

Aguero menambah, Malaysia memiliki peluang untuk berada di kedudukan yang lebih baik meskipun gagal melepasi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

“Ia adalah pengalaman yang hebat untuk pasukan menemui prestasi semasa kami dan mengenal pasti perkara yang perlu kami perbaiki pada masa hadapan.

“Kami mempunyai kempen yang sangat baik. Beberapa pasukan [dari kumpulan lain] berjaya mara dengan hanya tujuh atau lapan mata, jadi kami sedikit malang tidak melakukan perkara yang sama dengan sepuluh mata.

“Namun prestasi kami menunjukkan bahawa kami telah maju dengan banyak dan mempunyai potensi yang baik,” tambahnya.

Pemain berusia 30 tahun itu berharap semangat dan pengalaman beliau akan terus membantu perkembangan bola sepak di Malaysia.

“Saya telah mendapat manfaat daripada bermain di Argentina, Itali, Hungary dan Malaysia. Semoga pada masa hadapan saya dapat membantu negara ini mengembangkan bola sepaknya dengan pengalaman yang saya peroleh daripada pemain, jurulatih dan kakitangan yang mempunyai pengalaman beraksi atau menjadi sebahagian di Piala Dunia.

“Selain itu, saya juga sedang meneruskan lesen kejurulatihan saya di Malaysia dan Argentina untuk mempersiapkan masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top