Cef selebriti terkenal, Cef Zam akhirnya tampil memohon maaf kepada semua pihak susulan kenyataannya sebelum ini yang mempertikaikan umat Islam mahu pulang kerja awal sebelum waktu berbuka puasa.
Menerusi ciapan di platform Threads, Cef Zam atau nama penuhnya Profesor Datuk Zamzani Abdul Wahab akui silap menggunakan perkataan yang dikatakan tidak sensitif.
“Nampaknya kenyataan saya semalam telah menimbulkan kemarahan ramai. Saya ingin jelaskan di sini bahawa saya tersilap pilih perkataan.
“‘Menggeletis’ yang saya taipkan itu sepatutnya ‘bergegas/tergesa-gesa’. Bab ‘masak untuk katering’ tu saya maksudkan sebagai berjenaka,” katanya.
Dalam masa sama, Cef Zam berkata dia tidak berniat untuk memperlekehkan komitmen setiap individu.
“Tidak terlintas di hati saya untuk memperkecilkan kepayahan anda semua berkejar pulang untuk persiapan yang pelbagai.
“Saya mohon ampun dan maaf di atas segala kekhilafan saya menyebabkan kemarahan anda semua,” katanya.

Artikel Berkaitan: “Waktu Berbuka 7.29 Malam, Kenapa Menggeletis Nak Balik Kerja Awal?” – Kenyataan Cef Zam Cetus Perdebatan Hangat Netizen






