am@hmetro.com.my
Kuantan: “Saya hanya ingat untuk selamat kanak-kanak itu yang sudah tenggelam timbul di tengah laut apabila dipukul ombak besar, saya berenang sekuat hati untuk menyelamatkannya,” kata anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pekan, Muhammad Khairul Nizam Manaf, 30.
Menurutnya, dia berenang kira-kira 200 meter sambil berhadapan ombak besar Pantai Sepat, di sini bagi menarik mangsa yang begitu lemah, walaupun mangsa tidak pandai berenang namun dia mampu menimbulkan badannya mengelak daripada tenggelam.
Katanya, walaupun dalam keadaan yang hampir tenggelam namun mangsa tidak terlalu cemas dan panik, mangsa kembali bersemangat selepas dapat berpegang pada tiub penyelamat yang diberikan.
“Ketika terapung bersama mangsa dalam laut, saya berusaha menenangkannya supaya tidak meronta dan terlalu cemas terutama apabila berhadapan dengan ombak besar yang membawa kami semakin jauh ke tengah laut.
“Untuk membantu kami berdua, saya bertindak memanggil seorang lagi rakan, Rosman Adha Abdullah yang datang membawa bersama papan luncur untuk memudahkan lagi membawa mangsa ke tepi pantai, keadaan mangsa begitu lemah terutama selepas banyak minum air,” katanya.
Dia yang bertugas meninjau di Menara ‘B’ Pantai Sepat, berkata, kejadian berlaku di hadapan Menara Penyelamat Pantai ‘B’ berlaku Sabtu lalu itu, ketika mangsa berusia 13 tahun mandi bersama keluarga. Air laut ketika itu sedang pasang dan bendera merah dipasang sebagai tanda keadaan laut merbahaya.
Muhammad Khairul Nizam berkata, mangsa muntah air sebanyak tiga kali hingga menyebabkan dia lemah dan berada dalam keadaan trauma, usaha menenangkan dia terpaksa dilakukan terutama apabila mangsa menangis.
Katanya, mangsa sempat menyatakan dia seolah bermimpi terutama apabila berjaya diselamatkan ketika lemas, dalam masa beberapa minit sahaja nyawanya hampir berpisah dari jasad tanpa diduga.
“Ini kes pertama saya berjaya menyelamat mangsa lemas selepas tiga tahun bertugas dengan APM Pekan, kejayaan itu begitu bermakna buat saya yang telah berjaya menunaikan tanggungjawab sebagai anggota APM yang telah dibekalkan dengan latihan dan kemahiran menyelamat di air.
“Saya bersyukur berjaya menyelamatkan mangsa dan ucapan terima kasih mangsa dan keluarga mangsa begitu bermakna buat saya,” katanya.
Bagi Rosman Adha, kemahiran berenang dan menyelamat di air memberi keyakinan padanya untuk menyelamat mangsa menggunakan papan luncur walaupun berhadapan dengan ombak besar dan angin kencang.
“Umur mangsa masih panjang, sebelum usaha menyelamat dilakukan dia tenggelam timbul dan terkapai-kapai meminta tolong. Walaupun tidak pandai berenang mangsa masih lagi mampu timbul sejauh kira-kira 200 meter di tengah laut.
“Ketika itu ombak besar, kedudukan mangsa yang dibawa arus laut hampir dengan Menara Penyelamat Pantai B, memudahkan lagi usaha menyelamatkannya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd





