redzuan.muharam@hmetro.com.my
Cyberjaya: Bukan semua individu berani mengaku kesalahan dan bertanggungjawab dengan apa dilakukan kerana wujud insan yang suka lepas tangan.
Bagaimanapun, lain pula kisahnya dengan Rafiuddin Md Rodi, 28, yang bukan hanya mengaku melakukan kesalahan trafik namun turut cuba mengesan penunggang motosikal yang tidak sengaja melanggar kenderaannya.
Menerusi satu hantaran dimuat naik di Facebook (FB) Komuniti Cyberjaya, Rafiuddin meminta bantuan warganet untuk membantunya mencari penunggang motosikal berkenaan kerana mahu membayar ganti rugi dan menolong membaiki jika kenderaannya mengalami kerosakan.
Berkongsi kisah sebenar, Rafiuddin berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 9 malam kelmarin di Lingkaran Cyberjaya Point Timur, dekat sini, ketika dia dalam perjalanan ke satu tempat untuk mencari barangan.
“Saya memandu dengan ditemani isteri waktu itu dan kami baru keluar daripada pusat beli-belah.
“Ikutkan tak boleh belok ke kiri tapi saya terlepas dan tak nampak ada motosikal di belakang.
“Kemudian, penunggang motosikal itu terlanggar sebelah kiri dekat bahagian belakang kereta saya kerana waktu itu dia nak terus tapi saya pula belok ke kiri,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Selepas kejadian itu, Rafiuddin memberhentikan keretanya di tepi jalan namun penunggang motosikal berkenaan terus berlalu pergi.
“Terkedu juga waktu itu dan saya tak sempat tengok pun keadaan penunggang serta motosikalnya.
“Jujurnya serba salah juga kerana saya pun silap kerana belok ke kiri dan sebab itu saya muat naik di FB hantaran berkenaan dengan niat nak mencari penunggang berkenaan.
“Risau kalau dia ada alami kecederaan dan saya masih harap penunggang itu tampil malah sedia bayar ganti rugi jika motosikalnya ada kerosakan. Kereta saya calar cuma sedikit saja pada bahagian tangki minyak,” katanya.
Meninjau ruangan komen, rata-rata warganet memuji sikap Rafiuddin kerana berani mengaku kesalahan dilakukan.
“Salah itu memang salah, bukan semua orang mampu mengaku kesalahan.
“Satu contoh yang baik, walaupun ada buat salah, terus minta maaf dan bertanggungjawab,” tulis pengguna FB, Hariz Md Amin.
“Bukan senang jumpa orang mengaku salah. Terbaik bro, saya punya rezeki asyik jumpa orang yang langgar lari saya saja. Patah habis tulang,” tulis seorang lagi pengguna FB, Ameer Afnaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd