SUNGAI BULOH – “Saya hilang satu-satunya anak lelaki selain teman untuk berbual mengenai bola sepak dan memancing,” kata Ku Azmi Saad, 46, bapa kepada salah seorang tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang maut dirempuh kereta dipandu seorang wanita di Dungun, malam tadi.
Ku Azmi berkata, dia mengetahui kejadian menimpa anaknya, Ku Adib Aizad selepas membuka telefon bimbit sebaik di Makkah malam tadi waktu tempatan di sana yang memaklumkan anak lelaki tunggal itu terbabit dalam kemalangan.
Kata beliau, pesanan ringkas WhatsApp miliknya masuk bertalu-talu sebelum dia dan isteri mengambil keputusan untuk pulang dengan penerbangan awal pukul 1.30 pagi di sana.
“Kami sampai di KLIA pukul 3.30 petang tadi dan bersyukur Allah SWT memakbulkan doa saya sepanjang perjalanan pulang untuk menatap kali terakhir wajah anak kami.
“Kami dipermudahkan urusan sebaik tiba di KLIA termasuk urusan imigresen dan sampai di rumah di Saujana Utama pukul 5 petang dan jenazah juga baru sampai ketika itu.
“Allah SWT juga memberi peluang kepada saya memimpin solat jenazah buat Ku Adib sebelum arwah dibawa ke tanah perkuburan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Allahyarham Ku Adib selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul A’liyah Saujana Utama, Sungai Buloh di sini petang ini.
Ku Azmi adalah kakitangan Print Tower Sdn Bhd (PTSB), anak syarikat Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) manakala isterinya, Hafizah Iszahanid adalah Penolong Pengarang Berita, Berita Harian.
Mengulas lanjut, Ku Azmi berkata, dia dan keluarga menghantar Ku Adib ke UiTM Dungun pada Jumaat lalu untuk meneruskan pengajian dalam Sarjana Muda Perakaunan selepas tamat belajar di Kolej Matrikulasi Arau.
Katanya, sepanjang perjalanan ke sana, anak sulungnya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan.
Namun ujarnya, Ku Adib ada meluahkan hasrat tidak mahu menerim skrol ijazah di atas pentas dengan alasan ramai orang pada hari majlis konvensyen.
“Sebelum masuk ke UiTM, dia ada buat kerja sambilan sebagai penghantar makanan.
“Duit gajinya itu digunakan untuk membayar yuran kolej kerana diterima masuk kolej di saat-saat akhir,” katanya penuh tenang.
Ditanya sikap anaknya yang menjadi al-Quran sebagai rutin bacaan harian, Ku Azmi mengakui anaknya gemar membaca kalam Allah itu ketika bersendirian.
“Dia memang gemar membaca al-Quran kalau duduk sendiri dan sebagai bapa, kami sering berbual mengenai bola dan aktiviti memancing.
“Kalau hendak menilai anak saya, kita boleh lihat kawan-kawannya yang ramai datang kerana dia juga suka tolong orang,” katanya.
Ku Azmi juga memberitahu dia dan keluarga belum membuat sebarang keputusan berkaitan undang-undang ke atas pemandu kereta yang melanggar anaknya itu.
Dalam kejadian jam 7.20 malam tadi, sebuah kenderaan dipandu seorang wanita dilapor merempuh dua motosikal ditunggang Ku Adib dan tiga rakannya dari arah belakang.
Rempuhan menyebabkan dua lagi mangsa maut di tempat kejadian manakala seorang rakan mereka, cedera pada bahagian belakang dan dirawat di Hospital Dungun.
Ketika kejadian, semua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke kampus selepas makan malam di sebuah kedai tidak jauh dari tempat kejadian.
Berikutan kejadian itu, polis menahan pemandu SUV terbabit berusia 49 tahun dan direman empat hari bermula hari ini.
Ketika nahas berlaku, Ku Azmi dan Hafizah sedang dalam penerbangan ke Makkah untuk mengerjakan umrah menerusi Program Umrah dan Ziarah 2024, Media Prima membabitkan 127 peserta daripada kalangan kakitangan dan ahli keluarga.
Pesawat rombongan umrah itu berlepas dari KLIA jam 5.35 petang semalam dan tiba di Jeddah jam 9.15 malam tadi (waktu tempatan).
Pasangan itu pulang semula ke Kuala Lumpur sejurus mendapat berita menimpa anak mereka dan berlepas dari Jeddah jam 1.55 pagi waktu tempatan. – MalaysiaGazette