PETINJU legenda Filipina, Manny Pacquiao mengumumkan kepulangannya ke gelanggang pada usia 46 tahun hampir empat tahun selepas pertarungan terakhirnya.
Pacquiao bakal menentang juara kelas welter WBC, Mario Barrios, di Las Vegas pada 19 Julai depan.
“Saya kembali… Mari kita cipta sejarah,” kata Pacquiao dalam satu hantaran di media sosial.
Pacquiao kini menyasarkan untuk menjadi juara dunia kelas welter tertua dalam sejarah sukan lasak berkenaan.
Beliau masih memegang rekod tersebut selepas menewaskan Keith Thurman bagi merebut gelaran WBA (Super) pada tahun 2019 ketika berusia 40 tahun.
Minggu lalu, badan tinju dunia, WBC mencetuskan kontroversi apabila meletakkan semula nama Pacquiao di tangga kelima dalam senarai kedudukan rasmi mereka sekali gus menguatkan spekulasi mengenai kepulangannya ke pentas kompetitif.
Presiden WBC, Mauricio Sulaiman mempertahankan keputusan tersebut dengan menyatakan: “Pacquiao telah mendapat lesen daripada Suruhanjaya Sukan Nevada dan lulus semua pemeriksaan perubatan.
“Sebagai bekas juara legenda WBC, beliau telah diluluskan untuk bertarung oleh organisasi kami.”
Sebagai rekod, pertarungan terakhir Pacquiao menyaksikan tewas kepada Yordenis Ugas menerusi keputusan mata pada Ogos 2021.
Sepanjang kerjaya gemilangnya, Pacquiao telah bergelar juara kelas welter sebanyak empat kali dan merekodkan 62 kemenangan, lapan kekalahan dan dua seri daripada keseluruhan 72 pertarungan.
Sejak persaraannya dari dunia tinju, Pacquiao aktif dalam arena politik Filipina.
Bagaimanapun, minggu lalu beliau gagal dalam percubaannya untuk dipilih sebagai senator Filipina.