Richard Chin menyertai majlis solat Maghrib dan hajat bersama pasukan Harimau Malaya dan Palestin baru-baru ini.
PERTAHANAN muda skuad negara, Richard Chin, mendedahkan bahawa dirinya seorang Muslim selepas melafazkan syahadah pada November tahun lalu, 10 bulan sebelum menerima perkhabaran mengenai peluangnya menyarung jersi Harimau Malaya.
Seiring dengan gerak hatinya untuk menerima Islam, Richard melihat negara warisannya, Malaysia, sebagai pilihan tepat untuk berbakti, juga untuk mendalami Islam dengan lebih baik.
Dalam satu temu bual eksklusif bersama wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, pemain kelahiran England itu berkata: “Saya melafazkan syahadah untuk menerima Islam pada November tahun lalu.
“Alhamdulillah, saya amat gembira untuk kini menjadi seorang Muslim.
“Sudah pasti di sini saya dapat banyak sokongan daripada peminat sepanjang dua tahun lalu, ia memberikan saya motivasi yang besar untuk bermain buat negara ini.
“Memandangkan ini negara Muslim, ia menjadi lebih baik.”
Richard, 22, melakukan penampilan pertamanya bersama skuad kebangsaan dalam aksi persahabatan antarabangsa menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri malam kelmarin.
Pertahanan sayap itu dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-79, di mana dia menggantikan Quentin Cheng dan memastikan skuad negara mempertahankan kelebihan satu gol — yang dijaringkan Joao Figueiredo pada minit ketiga — sehingga ke wisel penamat. — Stadium Astro/ Awani