'Saya malu kalau menantu tahu saya ni penagih dadah'

'Saya malu kalau menantu tahu saya ni penagih dadah'


am@hmetro.com.my

Kuala Kedah: “Saya malu kalau menantu tahu saya ni penagih dadah dan menghidap HIV. Tolong lepaskan saya encik, saya dah tua,” kata seorang lelaki warga emas ketika ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah.

Warga emas berusia 66 tahun itu ditahan anggota AADK ketika memasuki pelantar siput yang dipercayai port tumpuan penagih dadah di kawasan ini, semalam.

Kawasan itu digempur AADK dalam serbuan Ops Cegah Khas 3.0 AADK Kedah yang dilakukan bermula sejak Isnin lalu.

Difahamkan, Kuala Kedah adalah antara tempat tumpuan penagih dadah di negeri ini kerana berhampiran muara laut.

Lelaki warga emas itu mendakwa menantu perempuannya itu baru berkahwin dengan anaknya enam bulan lalu dan tinggal bersamanya.

“Saya menagih dadah sejak berusia 13 tahun dan sekarang dah 50 tahun saya menjadi penagih dadah.

“Saya dijangkiti HIV ketika berkongsi jarum suntikan suatu masa dahulu dan isteri serta anak-anak pun tahu, malah mereka seakan tidak pedulikan saya,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan itu hari ini.

Menurutnya, dia datang ke pelantar siput itu selang dua hari untuk melepaskan gian kerana bosan duduk di rumah.

“Saya hisap syabu dan morfin… memang nak tinggal dadah ni tapi tak boleh sebab saya nak hilangkan bosan di rumah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Operasi AADK, Zainudin Abdullah berkata, operasi di pelantar siput itu Kuala Kedah itu mencatatkan tangkapan seramai 45 orang.

Katanya, daripada jumlah itu, tujuh daripadanya adalah warga emas yang berusia 60-an ke atas, manakala yang muda adalah antara 18 hingga 40 tahun.

“Kebanyakan mereka memberi alasan mengambil dadah kerana atas alasan untuk bekerja dan kebanyakan mereka tak serik.

“Biasanya golongan penagih warga emas ini mengambil dadah jenis morfin dan opiate selain sulam dengan air ketum.

“Operasi Op Cegah Khas 3.0 AADK kali ini menyaksikan Kedah antara tertinggi tangkapan penagih dadah iaitu seramai 263 orang, yang mana sebahagian besarnya di Kuala Kedah dalam daerah Kota Setar/Pokok Sena dan diikuti Kuala Muda serta Langkawi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top