nurul_husna@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Pernah jual, tetapi hari ini tiada stok pula. Gula-gula ‘liat’ itu memang ‘budak-budak’ suka,” ujar pemilik runcit di Serdang Jaya, Selangor yang mahu dikenali sebagai Ayip.
Dia mengakui saiz gula-gula yang besar dan warna yang terang dengan visual menggerunkan membuatkan ramai kanak-kanak tertarik.
“Kalau orang dewasa tidak suka sebab rupa mata yang mengerikan, berlainan dengan kanak-kanak yang suka rupa gula itu pelik-pelik.
“Kalau budak sekolah yang datang, memang gula-gula ini ramai peminatnya,” katanya.
Dia mengakui agak terkejut apabila insiden ‘tercekik’ gula-gula itu mengorbankan kanak-kanak di Pulau Pinang.
Tinjauan di beberapa kedai runcit mendapati gula-gula kenyal itu tidak asing, tetapi tidak semua kedai menjualnya.
Rata-rata peniaga kedai makanan ringan mengetahui mengenai kewujudan gula-gula kenyal ini, tetapi tidak tahu bahaya kesannya terhadap kanak-kanak.
Sementara itu, menurut pemborong makanan ringan di Petaling Jaya dikenali sebagai Lam, 50-an, gula-gula itu masih dijual kerana mendapat permintaan tinggi.
“Saya masih menjualnya kerana masih ada stok. Tiada lagi larangan terhadap jualan gula-gula ‘kenyal’ itu.
“Gula-gula itu saiznya agak besar untuk kanak-kanak tetapi setakat ini tiada pula rungutan daripada pembeli. Cuma kanak-kanak suka rupa dan teksturnya yang ‘kenyal’,” katanya.
Tinjauan wartawan mendapati gula-gula berkenaan turut dijual meluas di laman dagang dalam talian.
Penjualan itu itu sedikit sebanyak mengundang kebimbangan pihak tertentu terhadap insiden tercekik berulang.
Ibu bapa dan orang ramai perlu memantau anak-anak supaya memilih makanan lebih sihat dan berkhasiat.
© New Straits Times Press (M) Bhd