'Saya menyesal tidak dapat buat apa-apa… isteri, anak terkorban'

'Saya menyesal tidak dapat buat apa-apa… isteri, anak terkorban'


am@hmetro.com.my

Papar: Tragedi tanah runtuh di Kampung Mook, semalam tidak mudah untuk dilupakan Jude Aristhotle Joseph, apatah lagi dia kehilangan isteri dan anak lelaki sekali gus memberkas kesedihan mendalam di hatinya.

Kata Jude, 48, sebelum insiden itu berlaku, dia bangun lebih awal daripada isteri, Emily Johny, 38, dan dua anak lelaki mereka, Xavier Junior Jude, 17, serta Xarell Myre Jude, 11.

Menurutnya, disebabkan cuti umum dia mengambil kesempatan itu untuk membiarkan anak dan isterinya berehat lebih lama sementara dia mencuci pakaian.

“Namun pada 8 pagi, tanah runtuh berlaku hingga tiga rumah termasuk rumah saya tertimbus tanah dan ranap sepenuhnya.

“Ketika itu, kaki saya tersepit tetapi terpaksa juga berusaha keluarkannya untuk menyelamatkan diri. Saya teriak panggil anak sulung dan dia keluar dari bilik.

“Saya juga dengar suara anak bongsu dari dalam bilik. Mula-mula dengar suaranya tersedak-sedak dan (seperti) tidak dapat bernafas. Kemudian, saya tidak dengar apa-apa lagi.

“Isteri pula mungkin tersepit di dalam. Saya menyesal sebab tidak dapat buat apa-apa. Sebab itulah saya cakap (dalam video tular di laman media sosial semalam) saya sanggup bayar berapa sahaja kepada sesiapa yang memiliki jentera (untuk keluarkan anak dan isteri).

“Saya (ketika kejadian) sudah mati akal,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Penempatan Kampung Mook di sini, hari ini.

Mayat dua beranak itu kemudian ditemui pasukan penyelamat, sebelum diserahkan kepadanya untuk urusan pengebumian.

“Saya uruskan sendiri jenazah isteri dan anak. Saya mandikan jenazah mereka… banyak batu dalam mulut anak, saya keluarkan dan bersihkan semuanya. Wajah isteri berubah sedikit mungkin kerana lemas.. (kesal) saya lambat tolong dia. Kini hanya tinggal kami berdua (anak sulung) sahaja,” katanya.

Dia juga mengakui sesal tidak dapat menyelamatkan isteri dan anak membelenggu dirinya namun, dia sedar takdir tertulis dan mereka tidak akan hidup kembali.

Mayat Emily dan Xarell akan dikebumikan esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top