Jackson ketika dilayangkan kad merah semasa aksi Chelsea menentang Flamengo di Lincoln Financial Field, Philadelphia, Pennsylvania. FOTO: AFP
PENYERANG Chelsea, Nicolas Jackson, memohon maaf kepada rakan sepasukan dan para penyokong The Blues atas kad merah yang diterimanya ketika kekalahan 1-3 kepada Flamengo dalam saingan peringkat Kumpulan Piala Dunia Kelab FIFA di Lincoln Financial Field, Philadelphia.
Jackson yang baru berada di padang selama empat minit pada separuh masa kedua, diarah keluar padang serta-merta selepas melakukan terjahan berbahaya terhadap Ayrton Lucas sekali gus merupakan kad merah keduanya dalam empat perlawanan terakhir.
“Saya ingin meminta maaf. Kepada kelab, kakitangan, rakan-rakan sepasukan, dan semua penyokong yang menonton, saya telah mengecewakan anda semua.
“Satu lagi kad merah… dan sejujurnya, saya sangat marah pada diri sendiri. Saya bekerja keras setiap hari untuk membantu pasukan, bukan untuk meletakkan kami dalam situasi seperti ini. Saya masih tidak sepenuhnya faham bagaimana ia berlaku. Tetapi satu perkara jelas: ia tidak disengajakan. Hanya insiden bola sepak yang tersilap langkah.
“Tiada alasan. Saya bertanggungjawab sepenuhnya. Saya akan muhasabah diri, saya akan berkembang, dan saya akan kembali lebih kuat demi lencana (kelab) dan semua yang percaya kepada saya. Maaf. Maaf. Maaf,” katanya.
Jackson akan menjalani penggantungan minimum satu perlawanan ketika Chelsea dijadualkan berdepan Esperance Sportive de Tunis pada Khamis.
Jackson sebelum ini pernah dilayangkan kad merah ketika menentang Newcastle United dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris bulan lalu atas terjahan yang serupa.
Pengurus Chelsea, Enzo Maresca berkata: “Ini adalah saat yang agak sukar bagi Nico dalam hal-hal sebegini. Malangnya, dia kini akan berehat seketika, sepanjang tempoh kami berada di sini.”
Pertahanan Chelsea, Marc Cucurella, turut mengesahkan bahawa Jackson telah memohon maaf kepada rakan sepasukan selepas perlawanan.
“Dia sangat sedih. Dia seorang pemain muda dengan banyak kualiti tetapi mungkin perlu sedikit meningkatkan diri dalam hal-hal ini,” kata Cucurella.