Penyanyi dan pelakon Amira Othman meminta agar diberi ruang serta privasi kepadanya serta suami, Fattah Amin berhubung dakwaan dirinya dikatakan berbadan dua.
Memetik Harian Metro, Amira berkata dia akan berkongsikan berita baik itu apabila tiba masanya nanti serta meminta mendoakan yang baik-baik.
BACA: “Soalan Hamil Sebenarnya Agak Sensitif” – Amira Othman
“Sebelum kahwin… orang tanya pasal kahwin, dah kahwin… orang tanya pasal mengandung pula. Kalau ada waktu bersesuaian pasti saya akan kongsikan.
“Saya mohon sedikit privasi dan ruang. Begitu juga, saya minta doa baik-baik daripada semua peminat dan pengikut.
“Insya-Allah benda baik pasti kita akan kongsi. Tapi, sudah tentu kita juga perlukan ruang kehidupan seperti orang lain juga.
“Bagaimanapun, selagi tidak keluar (pengakuan hamil) daripada mulut tuan punya badan, harapnya tiada andaian dibuat,” katanya.
Sementara itu, Amira berkata dia tidak kisah sering ditanya mengenai soalan berkenaan dakwaan sedang hamil kerana sudah lumrah sebagai individu dikenali.
“Bagi saya tak bolehlah nak penat sebab ini memang lumrah sebagai ‘public figure’. Kadang-kadang soalan saya dah jawab pun akan ditanya lagi. Sama macam kita buat siaran langsung TikTok walaupun dah jawab akan tanya lagi soalan yang sama.
“Bagi saya itu biasa, kalau kita tak nak orang tanya soalan begini mungkin kita tak patut berada dalam industri,” katanya.
Sumber: Harian Metro





