Cristiano Ronaldo. Foto AFP
CRISTIANO Ronaldo sekali lagi menjadi perhatian media, tetapi kali ini bukan kerana gol atau rekodnya.
Dalam satu temu bual bersama Piers Morgan baru-baru ini, bintang Portugal itu mengakui sesuatu yang jarang didedahkan iaitu dia akan menangis apabila tiba masanya untuk bersara.
Ronaldo berkata, detik persaraannya semakin hampir dan walaupun tidak menetapkan tarikh tertentu, dia mengakui bahawa pengakhiran kariernya sebagai pemain bola sepak profesional akan menjadi momen yang sangat sukar.
“Saya rasa ia akan sukar. Saya mungkin menangis kerana saya seorang yang mudah menangis. Saya tidak menyembunyikan perasaan saya,” katanya.
Ronaldo juga berkongsi bahawa tiada apa yang mampu menandingi perasaan hebat ketika menjaringkan gol, perasaan yang telah menjadi nadi kariernya selama lebih dua dekad.
Selain itu, Ronaldo membuka sisi lebih peribadinya apabila mengakui bahawa dia berasa berat berjauhan dengan keluarga kerana tuntutan pasukan dan kelab.
Dia berkata kini mahu lebih banyak masa bersama anak-anaknya dan merindui Bella apabila terlalu lama berjauhan dengan keluarga.
Motivasi terbesarnya kini ialah untuk lebih dekat dengan anak sulungnya, Cristiano Jr yang baru-baru ini menjuarai kejohanan bawah 16 tahun bersama Portugal.
Ronaldo melihat tempoh ini sebagai fasa penting untuk membimbing anaknya supaya tidak mengulangi kesilapan remaja yang pernah dilakukannya.
“Saya mahu berada bersamanya kerana dia kini pada usia di mana kamu buat perkara-perkara bodoh…saya pun pernah melaluinya,” katanya sambil ketawa kecil.
Sebelum ini, Ronaldo turut mengesahkan bahawa Piala Dunia 2026 bakal menjadi penampilan terakhirnya dalam kejohanan berprestij berkenaan, sekali gus menguatkan lagi bayangan bahawa karier luar biasanya kini menghampiri penghujung.
Ringkasan AI
- Cristiano Ronaldo menyatakan akan menangis apabila masanya untuk bersara tiba
- Dia mengakui detik persaraannya semakin hampir tanpa menetapkan tarikh tertentu
- Ronaldo berasa tiada apa yang mampu menandingi perasaan hebat ketika menjaringkan gol
- Dia merindui masa bersama keluarga dan mahu lebih banyak masa bersama anak-anaknya
- Motivasi terbesarnya kini adalah untuk lebih dekat dengan anak sulungnya, Cristiano Jr, dan membimbingnya





