‘Saya mungkin ada jersi yang lebih baik’ – Cools

‘Saya mungkin ada jersi yang lebih baik’ – Cools


Cools memahami kemahuan peminat yang mungkin mahukan sesuatu yang berbeza untuk rekaan jersi terbaharu pasukan kebangsaan itu.

KETUA pasukan Harimau Malaya, Dion Cools memberikan pendapatnya mengenai jersi baharu Harimau Malaya yang dilancarkan pada Khamis yang kini mendapat tajaan utama daripada PUMA.

Menurut Cools, beliau memahami peminat yang mungkin mahukan sesuatu yang berbeza untuk rekaan jersi terbaharu pasukan kebangsaan itu.

“Secara peribadi saya mungkin mempunyai (koleksi) jersi yang lebih baik. Tetapi secara keseluruhan saya fikir hitam dan putih itu melambangkan Malaysia.

“Saya fikir semua orang mungkin menjangkakan sesuatu yang berbeza,” katanya dalam video oleh Futbolita.

Pada Khamis, FAM telah melancarkan jersi baharu Harimau Malaya yang direka dengan warna kebangsaan ikonik pasukan iaitu kuning dan hitam selain dijual dengan harga RM319.

Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin dalam sidang akhbar selepas pelancaran itu menyifatkan pengenalan jersi baharu itu tiba tepat pada masanya dan menandakan era baharu buat skuad kebangsaan.

“Struktur baharu Harimau Malaya dan kerjasama dengan PUMA ini akan menjadi era baharu buat pasukan negara. Saya harap dengan kerjasama ini ia akan meningkatkan moral pemain dan pegawai Harimau Malaya untuk menyerlahkan lagi pasukan.

“Kepakaran mereka (PUMA) dalam inovasi pakaian sukan dan pengiktirafan global bukan sahaja akan menyediakan pemain kita dengan peralatan yang mereka perlukan untuk bersaing di peringkat tertinggi, tetapi juga membantu memupuk hubungan lebih mendalam antara pasukan dan penyokong,” katanya.

Namun, jersi baharu itu menerima komen berbeza daripada peminat yang mengharapkan kelainan dapat ditonjolkan sesuai dengan harga yang ditawarkan.



Source link

OR