'Saya nampak atap genting 'disapu' angin'

'Saya nampak atap genting 'disapu' angin'


am@hmetro.com.my

Seremban: Lebih 20 rumah di tiga taman perumahan di Sendayan, di sini, mengalami kerosakan selepas atap genting rumah mereka diterbangkan ribut kira-kira 3.30 petang tadi.

Penduduk, Ali Dayong berkata, ketika kejadian dia berada di rumah sebelum terdengar bunyi berdentum dari rumah di bahagian hadapan kediamannya.

“Ketika itu saya sedang berehat dan memang hujan lebat. Saya dan anak tidak fikir apa-apa yang buruk kerana anggap ini hujan lebat biasa sebelum terdengar bunyi bising di luar rumah.

“Saya terus membuka tingkap dan lihat keadaan di luar, saya nampak atap genting beberapa rumah seolah disapu angin ke satu arah sahaja. Ada juga atap ‘awning’ yang berterbangan dan tong sampah juga diseret,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Tambahnya lagi, dalam keadaan itu dia hanya mampu berdoa memohon pertolongan dan perlindungan daripada Allah kerana ini kali pertama berdepan kejadian seumpama itu.

“Anginnya memang sangat kuat kerana saya dapat lihat salah satu bendera tegak berkibar tanpa bergoyang sedikit pun. Jika saya berada di luar, mungkin diterbangkan sekali.

“Rumah kami yang didiami sejak berbelas tahun lalu juga turut terkena. Empat atap genting diterbangkan dan air hujan masuk ke dalam rumah, namun tiada kerosakan teruk berlaku. Syukur,” katanya.

Pemandu lori, R Puvaneswaran, 36, berkata dia bergegas pulang dari tempat kerja sebaik menerima panggilan daripada salah seorang penduduk yang memaklumkan mengenai kejadian.

“Sebaik sampai dan buka pintu, saya sangat terkejut dan sedih kerana dapati siling rumah sudah jatuh ke lantai. Saya kemudian terus periksa bahagian lain.

“Rumah kami dimasuki air kerana atap diterbangkan ribut, rak televisen di ruang tamu dan tilam basah terkena air.

“Jika nak dikira kerugian, banyak juga kos yang diperlukan untuk baik pulih. Bagaimanapun saya bersyukur kerana tiada orang di rumah ketika kejadian,” katanya yang mempunyai tiga anak dan isteri yang mengandung empat bulan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Nusari Aman, Mohd Faizal Khabibor Rahman, 41, berkata, sebanyak 12 rumah di Nusari Bayu mengalami kerosakan seperti atap genting dan awning serta sebatang pokok tumbang.

“Sebaik bergegas pulang, perkara pertama yang saya nampak adalah pondok kawalan keselamatan di pintu masuk taman terbalik, namun ketika kejadian tiada pengawal keselamatan di lokasi.

“Kebanyakan kerosakan yang dialami adalah atap genting dan awning diterbangkan angin. Terdapat juga sebuah kereta yang mengalami kerosakan akibat dihempap atap,” katanya.

Antara perumahan yang terbabit Taman Nusari Bayu 1 Fasa 3, Nusari Aman 1A dan Nusari Bayu 2 Fasa 2.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top