Usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida (DSV) akhirnya mendedahkan identiti individu yang membeli sejumlah barangan dalam sesi lelongan di banglo mewahnya baru-baru ini.
Memetik laporan Berita Harian, Vida atau nama sebenarnya, Datuk Seri Hasmiza Othman memaklumkan. lelaki bernama Norzamri Abdullah itu sebenarnya antara pekerjanya, sekali gus menjawab persoalan netizen yang tertanya-tanya mengenai pembelian tersebut.
Bagaimanapun, kata Vida, isu siapa membeli bukanlah keutamaannya, sebaliknya usaha memastikan aset yang dibina dengan titik peluh sendiri tidak terus ‘hilang’ daripada simpanannya.
“Orang pun selalu nampak dia dengan saya… jadi memang tak pelik. Tapi apa paling penting, saya nak selamatkan aset saya. Semua itu saya beli guna duit usaha sendiri dan ada nilai sentimental, seperti perabot rumah,” katanya.
Pada 30 Oktober lalu, sebanyak 727 barangan milik Vida dilelong dengan nilai keseluruhan hampir RM1 juta dalam sesi yang berlangsung di kediamannya di Meru Heights, Ipoh.
Antara barangan yang dilelong adalah tiga kenderaan mewah iaitu Toyota Vellfire, Toyota Grand Hi-Ace dan BMW X7, termasuk perabot, dekorasi dan barangan elektrik.
Dalam masa sama, pelatun lagu I Am Me ini mengakui berat hati apabila melihat barangan kesayangannya dilelong.
“Sedih… sebab berjuta itu duit saya. Saya buat sale, buat live malam-malam. Kalau tak cukup di Malaysia, saya ke Singapura, Brunei.
“Tapi saya yakin Tuhan sedang sediakan sesuatu yang lebih baik buat saya dan syarikat.
“Apa pun cabaran, saya reda. Insya-Allah, selepas ribut dan taufan, pelangi akan muncul.”
Sekadar info, proses lelongan yang dijalankan oleh AH Design Communication Sdn Bhd itu tertangguh hampir setahun sejak Disember 2024.
Difahamkan pemiutang telah mengambil tindakan selepas Vida gagal menjelaskan bayaran tertunggak kepada syarikat subkontraktor itu.
Vida sebelum ini memohon penangguhan atas alasan barangan yang disita adalah barangan pinjaman, namun proses itu akhirnya diteruskan seperti dijadualkan.
Sumber/Kredit foto: Berita Harian






